Home » Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal
Berita Dalam Negara Politik

Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi agar pasportnya dikembalikan secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasminya.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen perjalanan peribadi Zahid dikembalikan buat sementara agar beliau boleh mendapatkan pasport diplomatik.


Sequerah berkata, Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, mesti mengembalikan pasport peribadinya kepada mahkamah sejurus selepas pasport diplomatik dibuat.


Beliau berkata, permohonan Zahid agar pasport peribadinya dikembalikan tidak dibenarkan kerana kedudukan semua orang atau tertuduh adalah sama rata mengikut undang-undang.

“Tiada perbezaan antara seorang tertuduh dengan yang lain. Justeru, permohonan (Zahid) agar pasport peribadinya dilepaskan secara kekal ditolak,” katanya.


Sequerah berkata beliau mengambil maklum bahawa tertuduh adalah timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, tetapi menambah bahawa pelaksanaan tugas Zahid tidak boleh mengganggu perbicaraan kes itu.


Terdahulu, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, menjelaskan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Zahid bagi membolehkannya mendapatkan pasport diplomatik.


“Bagaimanapun, kita perlu menegaskan bahawa pasport peribadi mesti dikembalikan ke mahkamah selepas pasport diplomatik dikeluarkan,” katanya.


Zahid yang juga presiden Umno, berkata dalam afidavit 20 Jan beliau memerlukan pasportnya untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan, termasuk memulakan perjalanan rasmi ke luar negara.


“Sebagai timbalan perdana menteri, saya mendapat mandat daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mewakili beliau bagi urusan rasmi (luar negara),” katanya.


Zahid berkata beliau tidak berniat untuk melarikan diri dan akan hadir pada semua tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah.


Katanya, dia kini berdepan sekatan ketika menjalankan tugas kerana tidak mempunyai akses kepada pasportnya.


Beliau juga berkata dirinya memerlukan pasport peribadi untuk memohon kepada Jabatan Imigresen untuk mendapatkan pasport diplomatik untuk tugas rasminya.


Dengan pemulangan pasport itu, katanya, beliau tidak perlu lagi memohon pembebasan sementara melalui mahkamah.


Sehubungan itu, beliau memohon untuk mengenepikan perintah menyerahkan pasport sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.


Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.


Dua belas daripada pertuduhan melibatkan CBT, lapan untuk rasuah dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.


Kes di peringkat pembelaan dengan enam saksi telah memberi keterangan setakat ini.

Perbicaraan dijadualkan disambung semula pada 10 April.

— V Anbalagan