Home » Iktiraf kabinet bayangan secara rasmi, Bersih beritahu kerajaan
Berita Dalam Negara Politik

Iktiraf kabinet bayangan secara rasmi, Bersih beritahu kerajaan

Bersih juga menggesa anggota kabinet bayangan PN itu membuat kunjungan hormat kepada Jemaah Menteri sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti.

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya menggesa kerajaan mengiktiraf secara rasmi penubuhan kabinet bayangan oleh pembangkang, dengan undang-undang yang menggariskan fungsi dan haknya.

Bersih berkata, undang-undang seperti itu membolehkan kabinet bayangan melakukan semak dan imbang yang mantap dan profesional terhadap kerajaan.


Katanya, kabinet bayangan seharusnya merangkumi majlis angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, pemberian elaun, peruntukan seorang pegawai penyelidik dan akses maklumat kerajaan yang bersesuaian untuk menghasilkan polisi yang realistik.

Terdahulu,Muhyiddin Yassin (tengah) ketika mengumumkan penubuhan kabinet bayangan PN.(Gambar Facebook)


Perikatan Nasional (PN) yang menjadi blok pembangkang di Parlimen mengumumkan penubuhan kabinet bayangan semalam dengan 26 Ahli Parlimen akan menjadi jurucakap pembangkang untuk setiap anggota Jemaah Menteri.


Bersih juga menggesa anggota kabinet bayangan PN itu membuat kunjungan hormat kepada Jemaah Menteri sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti.


Kabinet bayangan itu diketuai pengerusi PN yang juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin manakala Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin menjadi ketua pembangkang.


Bersih berharap pembangkang kini lebih kukuh dan tersusun dalam melakukan semak dan imbang kepada kerajaan serta menghasilkan polisi alternatif berdasarkan fakta.


Dalam sistem Parlimen Westminster, kabinet bayangan adalah sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang, biasanya diketuai ketua pembangkang, yang menjadi `bayang’ kepada anggota Jemaah Menteri.


Mereka tiada kuasa eksekutif tetapi meneliti dasar dan tindakan kerajaan, dan mengemukakan dasar alternatif.

— FMT