Home » Penjualan tanah lot perlu nasihat PBT, JTU
Berita Tempatan Politik

Penjualan tanah lot perlu nasihat PBT, JTU

PERJUMPAAN: Nizam (dua kanan) bersama wakil jabatan kerajaan dan konsesi dalam perjumpaan tersebut.

TAWAU: Pemilik tanah yang ingin menjual aset mereka secara lot rumah diminta supaya mendapatkan nasihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi mengelak masalah pada masa akan datang.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pembeli tanah lot terutamanya masalah kemudahan infrastruktur.


“Ramai pembeli yang sudah mendirikan rumah di tanah tersebut mengadu menghadapi masalah kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air, sistem kumbahan dan perparitan.


“Mereka mula mempersoalkan kerajaan kerana belum menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut, sedangkan penempatan itu tidak mendapat kelulusan PBT,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil jabatan kerajaan dan konsesi, di pejabatnya di sini hari ini.


“Namun, sudah tiba masanya pemilik perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berwajib supaya pembangunan yang ingin diwujudkan itu lebih terancang dan tidak menimbulkan masalah.


“Pemilik tanah boleh menggunakan kaedah yang dilakukan oleh pemaju-pemaju taman perumahan untuk mendapatkan kelulusan PBT dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.


Selain itu, Nizam berkata, pihaknya juga turut menerima aduan daripada penduduk di DUN Apas bahawa banyak jalan kampung rosak akibat jentera berat yang digunakan oleh pemilik tanah berkenaan.


“Ia bukan sahaja boleh merosakan jalan raya di kawasan kampung, tetapi turut membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak,” katanya.


Nizam juga turut berharap supaya kerajaan dapat mencari kaedah baharu atau garis panduan bagi penjualan tanah secara lot rumah.


“Semua jabatan yang terlibat memberi perhatian dan tumpuan kemudahan infrastruktur di kawasan DUN Apas demi kesejahteraan penduduk di sini.


“Masalah kerosakan kecil jalan raya dapat diatasi segera, manakala projek berskala besar akan dirujuk kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.


Turut hadir, wakil daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Konsesi lantikan kerajaan.

— Hamzah Sanudin