Home » Sabah perlu reformasi institusi untuk henti kemelut politik – BERSIH
Berita Tempatan Politik

Sabah perlu reformasi institusi untuk henti kemelut politik – BERSIH

Bersih menggesa reformasi institusi di Sabah dilaksanakan segera bagi menyelesaikan kemelut politik termasuk gerakan lompat parti.

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya Bersih menggesa supaya reformasi institusi di Sabah dilaksanakan segera bagi menyelesaikan kemelut politik termasuk gerakan lompat parti.


Menerusi kenyataan, Bersih berkata kemelut politik di Sabah hanya boleh diselesaikan dengan pakej institusi reformasi 3-dalam-1 iaitu Ordinan Antilompatan dan Ordinan Penggal Tetap DUN Sabah; Ordinan Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama; dan reformasi DUN.


Menurut kenyataan itu, menerusi Ordinan Antilompatan dan Ordinan Penggal Tetap DUN Sabah, satu ketetapan perlu dibuat dengan meluluskan undang-undang antilompat parti di peringkat Persekutuan, dengan menambah peraturan supaya ADUN yang melompat parti serta tidak menyokong Rang Undang-undang belanjawan hilang kerusi secara automatik.


Ordinan Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama pula bagi membolehkan dana kepada ADUN diberikan secara sama rata.
Bagi reformasi DUN pula ia perlu dibuat untuk memastikan semua ADUN pembangkang dan kerajaan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri bukannya kuasa hanya tertumpu kepada wakil rakyat yang dilantik menteri sahaja.


“ADUN Sabah perlu menyokong dan mendesak agar kerajaan Sabah melaksanakan reformasi dinyatakan dengan segera, agar demokrasi dan institusinya dapat berjalan dengan lebih profesional dan prorakyat berbanding hanya perebutan kuasa dan pengaruh antara kerajaan dan pembangkang,” katanya.

3 ADUN Warisan meninggalkan parti,mengisytiharkan bebas serta menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor


Beliau membuat cadangan itu susulan kemelut politik Sabah nampak tiada kesudahan apabila terbaru tiga ADUN Warisan Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), dan Norazlina Arif (Kunak) keluar parti dengan menyokong pentadbiran Hajiji Noor selepas usaha gerakan menjatuhkan ketua menteri oleh Umno dan Warisan gagal.

Ketua Menteri Hajiji Haji Noor


Katanya, tindakan wakil rakyat di Sabah melompat parti juga didorong ketiadaan peruntukan kepada ADUN pembangkang, berbanding menteri atau ADUN kerajaan yang diberi dana jauh lebih banyak.


“Ramai pengundi sebenarnya tidak kisah wakil rakyat melompat parti selagi wakil rakyat dapat membawa balik lebih banyak peruntukan dan imbuhan, dinamakan pembangunan dan kebajikan, ke kawasan,” katanya.

— FMT