Home » 291 murid Tabika Kemas dalam Parlimen Pensiangan diraikan dalam majlis apresiasi
Berita Tempatan Politik

291 murid Tabika Kemas dalam Parlimen Pensiangan diraikan dalam majlis apresiasi

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyeru agar institusi pendidikan awal kanak-kanak seperti Tabika KEMAS akan turut serta dalam membantu menyuburkan minat anak-anak kecil terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

KENINGAU: Seramai 291 kanak-kanak Tabika KEMAS di DUN Sook, Tulid dan Nabawan diraikan sempena Majlis Apresiasi TABIKA KEMAS Parlimen Pensiangan.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, majlis yang diadakan itu bertujuan memberi pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang anak-anak kecil dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun 2022.


Jelas beliau, anak-anak khususnya yang mendapat pendidikan awal di Tabika KEMAS adalah aset negara yang paling bernilai kerana mereka bakal menjadi pewaris yang boleh memacu negara ke tahap yang lebih baik dari sekarang.


“Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila kerana hakikatnya kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut kita supaya sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Pensiangan, dekat sini, kelmarin.

ALBUM: Arthur (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian murid yang diraikan dalam satu majlis apresiasi yang diadakan.

Dalam pada itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyeru agar institusi pendidikan awal kanak-kanak seperti Tabika KEMAS akan turut serta dalam membantu menyuburkan minat anak-anak kecil terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).


“Usaha ini bagi menyokong Hasrat Negara yang meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050, ” katanya.

BAGUS: Arthur merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada majlis apresiasi yang diadakan.


Mengulas lanjut, Arthur memberitahu bagi menuju ke arah itu, kita memerlukan perubahan besar, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar.


“Antara cara mencapai matlamat itu adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah lagi.


“Saya juga ingin menyeru kepada para ibu bapa agar bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjalankan apa sahaja aktiviti yang berkaitan.


“Sebagai Timbalan Menteri dan wakil rakyat yang berasal dari kawasan Pedalaman Sabah, kita dalam perancangan untuk membawa program-program yang berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memupuk dan menyemarakkan lagi minat masyarakat terutamanya kanak-kanak.


“Saya ingin melihat anak-anak kita terus maju ke hadapan dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.” katanya.

— Kenneddy Corlleus