Home » Gagasan Rakyat tiada menerima permohonan sertai parti dari ADUN bebas – Nizam
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat tiada menerima permohonan sertai parti dari ADUN bebas – Nizam

KHATAN: Nizam (tengah) bersama sebahagian kanak-kanak yang berkhatan di taman perumahan tersebut.

TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) belum menerima sebarang permohonan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas untuk menyertai parti tersebut.  


Ketua Penerangannya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tiada borang keahlian baharu yang diterima daripada mana-mana wakil rakyat parti lain ataupun bebas setakat ini.


Katanya, semua ADUN yang keluar Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini tiada memohon untuk menyertai Gagasan Rakyat.
“Kita hanya dapat maklumat bahawa mereka yang kerluar WARISAN itu hanya menyokong kepimpinan kerajaan negeri dibawah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


“Mereka menjadi ADUN bebas yang mesra kerajaan negeri dan ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan bebas memilih menyertai mana-mana parti mengikut persetujuan masing-masing,” katanya.


Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika menghadiri majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Cahaya Raudhah, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas, di sini hari ini.


Beliau yang ditanya mengenai pertukaran beberapa Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di negeri ini, katanya, keputusan itu tepat bagi memudahkan agenda pembangunan di kawasan mereka.


Menurutnya, penjawat awam lantikan kerajaan negeri memerlukan individu yang menyokong hala tuju kepimpinan yang ada sekarang.


“Sekiranya individu tersebut tidak menyokong kepimpinan negeri, sudah tentu menyukarkan mereka melaksanakan tugas di peringkat akar umbi.


“Maka, jawatan PPM perlu diserahkan kepada mereka yang menyokong kerajaan negeri supaya pemimpin akar umbi dan peringkat tertinggi sehaluan menjaga rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengenai majlis tersebut, Nizam yang juga ADUN Apas berbesar hati menaja semua perbelanjaan 34 orang kanak-kanak berkhatan di taman perumahan tersebut.


“Program itu adalah inisiatif pihak jawatankuasa masjid berkenaan sempena cuti sekolah untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan berkhatan secara percuma.


“Saya berharap dengan adanya program berkhatan secara percuma ini, dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan di taman perumahan tersebut,” katanya.

— Hamzah Sanudin