Home » KKD cadang tubuh Suruhanjaya Keselamatan Siber
Berita Dalam Negara Politik

KKD cadang tubuh Suruhanjaya Keselamatan Siber

Fahmi berkata, cadangan tersebut membolehkan suruhanjaya itu bertindak untuk mengawal selia serta memperkukuhkan perkara berkaitan keselamatan siber di negara ini. -Gambar fail/Bernama

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber dalam usaha memerangi isu sindiket penipuan dalam talian.


Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, cadangan tersebut membolehkan suruhanjaya itu bertindak untuk mengawal selia serta memperkukuhkan perkara berkaitan keselamatan siber di negara ini.


Jelas beliau, perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan lain sebelum diumumkan pada masa akan datang.


“Kita ada agensi tertentu seperti Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang membantu serta menyelaraskan perkara berkaitan sebelum ini.


“Kini kita ada beberapa agensi yang sedang berbincang dengan pihak kementerian termasuk NACSA untuk meneliti dan menilai aspek perundangan yang boleh dijadikan asas koordinasi lebih menyeluruh melibatkan semua kementerian.


“Hampir setiap negara Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) membangkitkan isu ini dan Singapura mencatatkan kerugian lebih dua bilion dolar manakala kita (Malaysia) lebih RM500 juta.


“Oleh itu saya lihat ada keperluan untuk gunakan media seperti RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan yang lain untuk mendedikasikan PSA (pengumuman perkhidmatan awam) untuk beri peringatan kepada orang awam mengenai sindiket scam,” ujar beliau.


Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menasihatkan orang ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dalam talian untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 agar tindakan susulan dapat dilakukan dengan segera dan berkesan

— DIANA AZIS