Home » APM bakal terima 100 ambulans pacuan empat roda
Berita Tempatan Politik

APM bakal terima 100 ambulans pacuan empat roda

Armizan berkata, bagi fasa pertama sebanyak 30 unit ambulans pacuan empat roda dijangka sampai pada suku kedua tahun ini termasuk lapan unit kepada APM Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Sebanyak 100 unit ambulans pacuan empat roda akan disediakan bagi memperkasakan peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seluruh negara bermula tahun ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua unit ambulans berkenaan akan dibekalkan secara berfasa bermula April tahun ini sehingga Julai 2024.


Katanya, bagi fasa pertama sebanyak 30 unit ambulans pacuan empat roda dijangka sampai pada suku kedua tahun ini termasuk lapan unit kepada APM Negeri Sabah.


“Secara keseluruhan daripada 100 perolehan yang pertama ini, kita akan berikan 15 unit kepada Sabah, 15 unit kepada Sarawak dan selebihnya baki 70 unit dibahagikan kepada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.


“Ini sebagai salah satu usaha untuk memperkasa APM dalam melaksanan fungsi dan tanggungjawabnya. Selain aspek sumber manusia, kita juga melihat kepada pemerkasaan atau peningkatan keupayaan dari segi aset.


“Antara yang kita lihat dalam asepek operasi kecemasan mahupun operasi menyelamat dan antara yang diperlukan khususnya di kawasan pedalaman adalah ambulans pacuan empat roda,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat APM Negeri Sabah di sini hari ini.


Armizan berkata, APM giat menggerakkan usaha untuk meningkatkan keupayaan aset pertahanan awam dalam melonjakkan keberkesanan peranan sehingga ke peringkat daerah.


Menurutnya, perolehan kenderaan seperti ambulans pacuan empat roda dapat memudahkan pergerakan anggota penyelamat ke tempat bencana terutama di kawasan struktur muka bumi dan fizikal jalan tidak sempurna seperti yang terdapat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


Dalam pada itu katanya, bagi memperkasa peranan dan fungsi APM, agenda utama yang perlu diberikan perhatian adalah berhubung aspek latihan dan melengkapkan masyarakat dengan ilmu pertahanan awam.


“Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) diwujudkan dan orang awam yang menyertai ASPA akan diberikan latihan sehingga memperoleh sijil serta nombor keanggotaan.


“Matlamat APM adalah untuk mencapai sasaran 10 peratus rakyat di Malaysia mempunyai ilmu asas pertahanan awam  sebagaimana yang disarankan oleh ‘International Civil Defence Organization’ (ICDO).


“Sehubungan itu, APM mempergiatkan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik minta masyarakat untuk menyertai ASPA. Data sehingga bulan Januari 2023 menunjukkan bahawa jumlah ASPA yang mendapat latihan di seluruh negara adalah seramai 1,972,077 orang termasuk Sabah seramai 196,651 orang,” jelasnya.


Pada majlis itu, seramai 204 orang membabitkan empat Pegawai Bersekutu dan 186 Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) disarungkan pangkat serta 14 orang menerima penganugerahan Pingat Pertahanan Awam.

— Siti Aisyah Narudin