Home » Andi sambut baik KKD bantu penyiaran, jaringan internet Sabah
Berita Tempatan Politik

Andi sambut baik KKD bantu penyiaran, jaringan internet Sabah

Andi berkata, kerajaan mahukan rakyatnya terus mengikuti perkembangan zaman sekiranya tidak mahu ketinggalan dari arus kemodenan.

TAWAU: Keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membantu Sabah khususnya dalam perkara berkaitan penyiaran dan jaringan internet adalah tepat serta dialu-alukan seluruh rakyat di negeri ini.


Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha KKD itu membuktikan Kerajaan Perpaduan prihatin dengan keadaan negeri Sabah.


Katanya, jaringan internet di Sabah terutamanya bahagian pendalaman masih ditahap lemah dan ketinggalan berbanding dengan negeri lain di semenanjung.


“Saya sangat menyokong usaha KKD yang mahu memperkasakan kemudahan penyiaran dan jaringan internet di Sabah.


“Kita juga difahamkan, KKD akan memberi tumpuan kepada pemantapan prasarana komunikasi, keselamatan siber dan pelaburan ekonomi digital tahun ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demkian dalam kenyataan media, di sini hari ini.


Menurutnya, pemerkasaan kemudahan internet di Sabah sangat diperlukan ketika ini memandangkan banyak sektor termasuklah ekonomi, pertanian dan pendidikan telah beralih kepada sistem digital.


Andi berkata, kerajaan mahukan rakyatnya terus mengikuti perkembangan zaman sekiranya tidak mahu ketinggalan dari arus kemodenan.


“Namun, sekiranya tiada usaha untuk meningkatkan kemudahan internet, maka hanya rakyat di sebahagian kawasan atau negeri sahaja boleh menikmati kemajuan teknologi yang ada.


“Justeru, inisiatif KKD yang diketuai menterinya, Fahmi Fadzil sangat dihargai dan diharapkan ia dapat direalisasikan secepatnya,” katanya.


Terdahulu, usaha itu sudah dibincangkan bersama antara KKD dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, baru-baru ini.


Fahmi menyatakan tumpuan terhadap pelaburan digital dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pascapandemik sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau ASEAN.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment