Home » Sikap toleransi elak konflik kaum dan agama – Nizam
Berita Tempatan Politik

Sikap toleransi elak konflik kaum dan agama – Nizam

Nizam berkata, umat Islam perlu menjadi contoh kepada sifat-sifat baik dan boleh menjadi model hidup bermasyarakat yang berbilang kaum.

KUNAK: Semua rakyat perlu mempunyai sikap toleransi dan saling menghormati bagi mengelak berlakunya konflik antara kaum dan agama di negara ini.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, negara kita memiliki warga yang berbilang kaum dan agama.


Katanya, walaupun Islam adalah agama rasmi persekutuan dan perlu dihormati, tetapi agama lain juga diberikan hak untuk dianuti secara aman.


“Secara logiknya, tidak ada satu kebaikan yang diperolehi sekiranya rakyat saling berpecah, malah ia akan mengakibatkan kerugian besar pada diri masing-masing.
“Kekuatan negara terletak kepada rakyatnya yang saling bersatu dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Bahagian Tawau, di sini hari ini.


Menurutnya, umat Islam perlu mengamalkan cara hidup yang telah digariskan oleh agama supaya tidak timbul kecaman sehingga digelar sebagai penganas atau ‘teroris’.


Nizam berkata, umat Islam perlu menjadi contoh kepada sifat-sifat baik dan boleh menjadi model hidup bermasyarakat yang berbilang kaum.


“Kita sedar dan melihat kebelakangan ini sudah ramai yang berani mempertikaikan soal-soal agama Islam termasuklah sembahyang dan perkara ibadah lain.


“Semua itu adalah gambaran terhadap kecetekan ilmu agama yang mereka perolehi sehingga wujudnya prasangka tidak baik,” katanya.


Beliau berharap masyarakat di negeri ini sentiasa memupuk rasa persaudaraan agar perpaduan serta kesatuan yang sedia terjalin bertambah mantap.


Mengulas mengenai majlis ini, Nizam berharap semoga semua peserta dapat meningkatkan mutu bacaan masing-masing dan dapat mewakili bahagian Tawau ke peringkat negeri Sabah.


“Saya juga mencadangkan supaya Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan ini dapat diadakan di peringkat kampung-kampung.
“Saya juga yakin dan percaya bahawa ramai Qari dan Qariah di kampung yang boleh digilap bakatnya pada masa akan datang,” katanya.


Turut hadir, ADUN Kunak Norazlinah Arif dan Pegawai Daerah Kunak merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kunak, Awang Mohd Yusuf.

— Hamzah Sanudin