Home » Jana Wibawa: Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN – Azmin
Berita Dalam Negara Politik

Jana Wibawa: Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN – Azmin

Azmin bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Pertuduhan rasuah terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) tidak akan mengganggu tumpuan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan, tindakan mahkamah itu menunjukkan ada perancangan untuk melumpuhkan parti itu.

“Tidak (mengganggu) kerana kita yakin ini merupakan satu pertuduhan yang terpilih, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan Presiden UMNO yang dibuat sebelum ini, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

“Ini membuktikan satu ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO, yang dilihat terhadap dukungan begitu kuat rakyat terhadap PN,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

PN bagaimanapun tambah Azmin, yakin rakyat akan memberi satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana tidak menunaikan janji dalam pilihan raya yang lalu.

“Sudah hampir tiga bulan, tetapi tidak ada satu langkah dan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat.

“Hari ini, yang kita lihat dilakukan musuh kita ialah untuk menutup kelemahan mereka. Untuk menutup kelemahan ini, maka mereka menyerang PN. Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO untuk mentadbir Kerajaan,” ujarnya.

— Rahimah Abdullah

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment