Home » Ringkasan peruntukan bagi Sabah dan Sarawak
Berita Tempatan Politik

Ringkasan peruntukan bagi Sabah dan Sarawak

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu melibatkan perancangan untuk membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia; prasarana awam kawasan pedalaman.

Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan pembangunan RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak terus meraih manfaat besar menerusi Belanjawan 2023 apabila dua negeri itu menerima peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu melibatkan perancangan untuk membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah serta Ba’kelalan, Sarawak dengan kos RM1 bilion.

Katanya, ia bagi menyokong pembangunan sekitarnya susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Berikut butiran lanjut peruntukan bagi Sabah dan Sarawak:

  • Lebih RM2.5 bilion untuk projek melibatkan prasarana awam antaranya projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.
  • Menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, Sabah Link Road, anggaran kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih 1,000km.
  • Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak.
  • Menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga RM50 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek.
  • Menambah baik pemberian khas, dan akan menyegerakan rundingan untuk formula baharu bagi Sabah dan Sarawak. Kerajaan akan meningkatkan sekurang-kurangnya RM300 juta berbanding RM16 juta setahun sebelum ini.

Nora Mahpar