Home » Belanjawan 2023 tidak banyak baiki kewangan rakyat, kata ahli akademik
Berita Dalam Negara Politik

Belanjawan 2023 tidak banyak baiki kewangan rakyat, kata ahli akademik

Ramai mengeluarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ketika Covid-19, tetapi tidak banyak usaha mengatasi masalah simpanan hari tua yang bakal berlaku.

Geoffrey Williams berkata tidak banyak usaha mengatasi kesan kepada simpanan persaraan yang berlaku susulan kebenaran pengeluaran KWSP ketika Covid-19 melanda.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi berpendapat tiada perubahan struktur ketara untuk menangani masalah rakyat walaupun pelbagai inisiatif diperkenalkan pada Belanjawan 2023.

Menurut Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, tidak banyak usaha menangani masalah simpanan persaraan yang berlaku susulan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika Covid-19 melanda.

Beliau berkata walaupun ada inisiatif menyatukan pangkalan data bagi penerima kebajikan bulanan, namun tiada perubahan ketara dalam sokongan kebajikan.

Williams memberi contoh menerusi peruntukan bantuan sosial berjumlah RM8 bilion kepada 8.7 juta orang, setiap penerimanya hanya mendapat kurang RM920.

“Ini bukan bajet fiskal berhemah atau bersifat populis,” katanya yang menyifatkannya ia lebih kepada “pengembangan” belanjawan.

Beliau berkata, nisbah defisit yang disemak itu adalah daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya berhemah fiskal.

“Ia anggaran yang boleh dipercayai tetapi bukan disebabkan dasar fiskal yang lebih ketat,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun tertarik dengan peningkatan sebanyak RM15.8 bilion untuk anggaran perbelanjaan tahun ini berbanding bajet dibentangkan kerajaan terdahulu pada Okt tahun lalu.

“Ini adalah peningkatan 19.8% berbanding RM332.1 bilion diperuntukkan dalam bajet untuk 2022, ia menjadikannya sebagai bajet pengembangan,” katanya.

Williams berkata peruntukan baharu juga tidak dibuat mengikut rasional tertentu contohnya bantuan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menurutnya, sebahagian besarnya dalam bentuk pinjaman, yang disifatkannya sebagai “tidak begitu menarik”.

“Perubahan cukai juga sangat terhad dan tidak akan memberi banyak impak sama ada kepada penerima atau hasil kerajaan,” tambahnya.

— FMT Reporters