Home » Yusof sahkan tidak terima surat kerana bukan ahli UMNO
Berita Tempatan Politik

Yusof sahkan tidak terima surat kerana bukan ahli UMNO

Sebelum ini, Yusof menganggap beliau sudah diterima menjadi ahli kerana borang keahlian sudah hantar ke pejabat perhubungan negeri serta dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob mengesahkan tidak menerima sebarang surat tindakan tatatertib daripada UMNO.


Beliau berkata, hanya empat ADUN UMNO yang menerima surat berkenaan iaitu ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya; ADUN Sugut Datuk James Ratib; ADUN Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya; dan ADUN Tempasuk Datuk Arsad Bistari.


“Setakat ini, saya belum menerima surat. Saya memikirkan saya sudah diterima menjadi ahli UMNO kerana saya dipanggil oleh Pejabat UMNO Perhubungan untuk menyertai acara, mesyuarat dan perhimpunan.


“Tetapi rupanya saya ini belum menjadi ahli. Saya menganggap saya ahli masa itu, tetapi bila saya dapat tahu, saya bukanlah ahli,” jelasnya.


Yusof berkata demikian kepada media selepas ditanya mengenai surat tindakan tata tertib dan status keahliannya dalam UMNO di sini hari ini.


Sebelum ini, beliau menganggap sudah diterima menjadi ahli kerana borang keahlian sudah hantar ke pejabat perhubungan negeri serta dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.


“Jadi saya kata tidak apalah, mereka tidak mahu menerima saya…saya ini orang politik, saya terpaksa mencari landasan perjuangan politik.


“Justeru, tanpa ada rasa ragu-ragu, saya tidak ada masalah untuk menyertai mana-mana parti yang saya fikirkan sesuai dan saya memilih  Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) untuk terus memperjuangkan perjuangan politik,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment