Home » ‘Annuar mahu kembali ke gelanggang politik’
Berita Dalam Negara Politik

‘Annuar mahu kembali ke gelanggang politik’

Annuar berkata dia akan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangannya dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira tiga bulan dipecat oleh UMNO pada Disember lalu, Tan Sri Annuar Musa, kini bersedia menyertai parti politik yang sudi menerimanya sebagai ahli biasa.

Bekas Ketua UMNO bahagian Ketereh itu, berkata sudah tiba masanya beliau memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti.


“Sejak 1979, selama 43 tahun saya menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya, sehinggalah saya dibuang dari parti itu Disember lalu.


“Sudah tiga bulan saya tidak berparti. Masa tersebut saya gunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.


“Tiba masanya kini, untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya dan parti yang benar benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.


“Semoga ada parti yang sudi menerima saya utk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka. Kepada Allah, saya berserah,” katanya yang juga bekas Menteri Komunikasi dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Sebelum dipecat oleh UMNO pada 8 Disember lalu, Annuar pernah menjawat kedudukan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional.


Pemecatan Annuar daripada UMNO, dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

— Farah Marshita Abdul Patah

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment