Home » Mengapa hina anak muda kurang berpelajaran sokong PN? – Rina Harun
Berita Dalam Negara Politik

Mengapa hina anak muda kurang berpelajaran sokong PN? – Rina Harun

Rina Harun berucap semasa Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu di Menara PGRM, di sini hari ini. 

KUALA LUMPUR : Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun,menyelar tindakan mana-mana pihak yang tergamak melontar penghinaan terhadap penyokong muda yang menyatakan kesetiaan kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurut Rina, tidak seharusnya kepercayaan dan sokongan anak muda terhadap parti diperlekehkan kerana sumbangan mereka juga mampu menyuntik impak buat sesebuah parti.

“Jangan perlekehkan dan jangan kata anak muda yang tak ada pelajaran saja yang sokong PN. Hinanya sehingga tergamak memandang orang yang kurang berpelajaran? Parti mana itu?

“Kita lihat juga di platform media sosial seperti Tiktok di mana anak muda berani menyuarakan sokongan dan bangkit bersama parti. Inilah yang sebenarnya menggegar dan menakutkan mereka.

“Sebelum jadi kerajaan, mereka kata nak suara rakyat didengari, tetapi setelah jadi kerajaan, cakap sikit terus surat saman datang melayang. Sikit-sikit saman sehingga ada gelaran baru, ‘Bapa saman negara’, “katanya.

Rina berkata demikian semasa menghadiri Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 yang diadakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Selain itu, Rina berkata, Srikandi juga sedar parti Bersatu kini bagaikan diserang di pelbagai penjuru selain tidak menolak bahawa wujudnya hasrat sesetengah pihak yang mahu melihat parti ini berkubur.

“Kalau boleh mereka nak tanam hidup-hidup parti Bersatu ini. Dulu, bila kita naikkan bendera PN warna biru, ada juga yang berbunyi dan cadang tukar warna lain kerana didakwa mengelirukan dan disamakan dengan warna bendera Barisan Nasional (BN).

“Tetapi, saya kira itulah sebenarnya keputusan yang bijaksana daripada pemimpin kita keeana biru inilah yang akan menggantikan BN.

“Justeru, meskipun dilanda pelbagai dugaan dan cabaran kini, saya harap semua ahli Srikandi akan terus sepakat dan setia bersama kepimpinan parti,”katanya. 

— SITI ATHIRAH DZULKIFLY