Home » Muhyiddin ulangi dakwaan Guan Eng bertanggungjawab kenakan cukai
Berita Dalam Negara Politik

Muhyiddin ulangi dakwaan Guan Eng bertanggungjawab kenakan cukai

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi dakwaan bahawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Al-Bukhary.

Ujar Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini.

Menurutnya, LHDN mengenakan semula cukai tersebut berserta 45 peratus cukai penalti terhadap Yayasan Al-Bukhary.

“Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu.

“Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Al-Bukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam,” jelasnya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, ketika menjadi Perdana Menteri, beliau menerima surat rayuan daripada Yayasan Al-Bukhary yang dimaklumkan telah mendapat pengecualian cukai untuk kerja amal Islam di bawah Seksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Guan Eng pada Jumaat mendakwa Muhyiddin berbohong apabila mengaitkannya dengan keputusan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pengerusi DAP itu menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary.

Muhyiddin kini sedang berdepan atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

sinarharian