Home » PM umum pembubaran Parlimen 3 petang ini
Berita Dalam Negara Politik

PM umum pembubaran Parlimen 3 petang ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri akan menyampaikan perutusan khas mengenai pembubaran Parlimen, petang ini.

Perdana Menteri melalui media sosial rasmi beliau memaklumkan pengumuman itu akan diadakan di Kompleks Seri Perdana dekat Putrajaya, jam 3 petang ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.

Bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat esok, adalah hari pertama bagi sesi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.

Semalam, Ismail Sabri dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, dipercayai untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times, kunjungan itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom, mulai hari ini hingga 16 Oktober ini.

Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Azhar yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen, hari ini.

— Berita Harian

About the author

admin

Add Comment

Click here to post a comment