Home » Matta sokong projek Mazu dihidupkan semula
Berita Tempatan Politik

Matta sokong projek Mazu dihidupkan semula

JOACHIM dan Chong serta pemimpin-pemimpin Islam ketika lawatan ke tapak itu baru-baru ini.

Kota Kinabalu: Lebih banyak sokongan mencurah-curah untuk cadangan menghidupkan semula projek Mazu (Dewi Laut) yang tergendala – kali ini daripada pemain pelancongan yang lebih mengetahui industri ini.


Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata, itulah yang amat diperlukan Sabah sekarang selepas Covid-19 dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina bersaing sengit untuk dolar pelancong.


Persatuan itu bersetuju dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan penduduk tempatan Kudat yang mencadangkan bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk melihat semula projek itu yang dibatalkan oleh kerajaan terdahulu, 17 tahun lalu.


Presiden kebangsaan Matta Datuk Tan Kok Liang berkata patung “Dewi Laut” pastinya akan memberi manfaat kepada industri pelancongan Sabah dan menaikkan taraf hidup penduduk di Kudat yang kini disenaraikan sebagai antara daerah termiskin di Sabah.


“Kudat akan mengalami ledakan pelancongan jika projek itu dihidupkan semula dan berjaya disiapkan,” kata Matta.


Ia berkata projek mega yang dibiayai swasta itu akan menghidupkan semula Kudat sebagai destinasi yang mesti dikunjungi.

“Projek Kudat Riveria dan perkhidmatan feri Ro-Ro yang menghubungkan Kudat dan Palawan tidak menjadi kenyataan, sekali gus gagal merancakkan aktiviti pelancongan.


“Hari ini, mempromosikan tempat seperti Kudat sebagai destinasi pelancongan adalah satu tugas yang sukar berikutan keadaan jalan raya yang teruk, perjalanan empat jam dan produk pelancongan yang kurang memberangsangkan di sana.


“Tidak banyak yang menarik minat pelancong untuk melawat tempat seperti Kudat. Ia dianggap sebagai destinasi pelancongan basi dan patung Mazu akan mengubah keadaan ini menjadi lebih baik.


“Mazu mungkin menyelamatkan banyak perniagaan di sana, termasuk sektor hartanah kerana nilai tanah juga akan meningkat apabila lebih ramai pelancong mula ke sana,” katanya.


Beliau berkata Sabah kemudiannya akan menarik tiga kategori pelancong antarabangsa dan domestik iaitu pelancong eko (Sandakan), pelancong pengembaraan (Kinabalu dan Sipadan) dan pelancong agama (Kudat).


“Tiada tempat lain di Malaysia mempunyai semua ini dalam satu destinasi seperti Sabah. Restoran makanan laut akan memenuhi keperluan semua pelancong ini. Bayangkan berapa banyak hasil ini untuk Sabah,” kata Tan.


Tan memetik Wat Chayamangkalaram dan Kuil Kek Lok Si di Pulau Pinang dan patung Dewa Murugan di Batu Caves yang menarik ramai pelancong dari UK, Eropah dan banyak pasaran sumber utama ke Malaysia.


“Patung Perpaduan adalah yang tertinggi di dunia di Gujerat, India, dan Patung Christ the Redeemer di Rio de Janeiro menarik jutaan pelawat setiap tahun.


“Jelas sekali, projek itu pada mulanya akan menarik pelancong China yang sentiasa mencari pakej pelancongan dan tarikan baharu.


“Dengan kempen pemasaran yang disasarkan, projek Mazu dengan kemudahan sampingannya akan dapat menarik segmen pelancong antarabangsa selain pelancong China.”


Minggu lalu, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata Sabah akan mengalami ledakan pelancongan jika projek Mazu yang tergendala itu dibenarkan diteruskan.


Oleh itu, katanya, projek Mazu memerlukan pandangan semula oleh Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah. Beliau juga berkata sudah tiba masanya untuk mengetepikan perbezaan politik masa lalu dan melakukan apa yang betul untuk Sabah dan rakyatnya.


Beliau merujuk kepada keputusan Kerajaan Negeri ketika itu untuk menghentikan projek itu pada 2007 kerana perbezaan politik yang ketara, walaupun Lembaga Bandaran Kudat pada mulanya meluluskan projek itu pada 2005.


Christina membuat lawatan sampingan ke tapak tersebut atas permintaan masyarakat setempat semasa lawatan kerjanya selama dua hari. 


Christina memberi jaminan akan membawa perkara itu ke perhatian Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri untuk pertimbangan.


“Ia pasti akan menjadi ikon pelancongan dan merancakkan sektor pelancongan di daerah ini, sama seperti Tanjung Simpang Mangayau yang menakjubkan dan kawasan panas lain di Sabah.


“Apa sahaja konflik masa lalu boleh diselesaikan secara baik demi kepentingan penduduk Kudat dan ekonominya,” kata Menteri itu.


Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengadakan lawatan ke tapak projek Patung Mazu dan secara peribadi, beliau menyokong usaha untuk meneruskan pembinaan Patung Mazu di Kudat itu.


“Secara peribadi, saya menyokong usaha ini kerana saya yakin ia memberikan manfaat yang begitu baik sekali kepada rakyat di Kudat  dan seterusnya memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negeri ini.


“Patung ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda sekaligus menjadi daya tarikan pelancongan di daerah tersebut,” kata Joachim.  


Beliau semasa lawatan itu ialah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat yang merupakan penasihat kepada projek pembinaan patung itu serta para pemimpin setempat yang terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua-Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (Wkan) dan Kapitan-kapitan Cina.


Tahun lalu Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated (KTC) Berhad, Datuk Dexter Lau pernah berbincang dan memohon agar kerajaan dapat meneruskan pembinaan patung Mazu itu. 


Dexter berkata, berkata, pihaknya memberikan sokongan padu kepada semua pihak yang terlibat sama dalam membina Patung Mazu itu.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Kapor, Ben Chong Chen Bin berkata pembinaan patung Mazu di Kudat mampu membawa manfaat besar bukan saja kepada industri pelancongan tetapi juga ekonomi Negeri Sabah.


Menyokong penuh usaha meneruskan projek pembinaan Patung Mazu itu, Ben Chong berharap dengan pembinaan patung setinggi 33 meter itu, ekonomi negeri yang merundum selepas pandemik Covid-19 dapat dipulihkan sepenuhnya.


“Ia adalah nilai tambah kepada tarikan pelancong luar negara untuk datang ke negeri ini dan daerah Kudat khususnya.


“Saya amat menyokong usaha ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan industri pelancongan dan merancakkan ekonomi di negeri ini.


“Sudah pasti, ia juga membawa manfaat kepada daerah Kudat dan rakyat secara tidak langsung,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.


Ben Chong berterima kasih kepada Joachim atas sokongan yang beliau berikan kepada projek itu.


“Dr Joachim amat memahami keperluan tindakan bagi merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan di negeri ini.


“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang menyuarakan inisiatif untuk meneruskan pembinaan patung Mazu itu,” katanya.

— Nikko Fabian

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment