Home » Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP: Ini perkara yang perlu anda tahu!
Berita Am Berita Dalam Negara

Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP: Ini perkara yang perlu anda tahu!

KWASA DAMANSARA: Ini perkara yang perlu anda tahu sekiranya anda ingin membuat permohonan bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP.

Apakah itu fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP?

  • Ia merupakan satu kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.
  • Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun.
  • pengeluaran ini bersyarat iaitu pembayaran hanya akan dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun.

Apakah manfaat fasiliti ini?

  • Fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi.
  • Simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan KWSP.
  • ia membolehkan ahli mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka

Bagaimana FSA2 dilaksanakan?

  • Ia dilaksanakan dalam dua fasa.
  • Fasa 1 (permohonan bagi ahli berumur 40 tahun ke atas) dibuka bermula 7 April 2023
  • Fasa 2 (permohonan bagi ahli berumur dibawah 40 tahun) akan dimaklumkan kelak.

Bagaimana permohonan dapat dibuat?

  • Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian.
  • Ahli perlu membuat semakan awal kelakayan dalam Akaun 2 KWSP terlebih dahulu.
  • Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon

Apakah syarat yang ditetapkan?

  • Semua ahli KWSP di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 Tahun,
  • Syaratnya mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.
  • Jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP).
  • Tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Bank apakah yang akan mengambil bahagian?

  • MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
  • KWSP akan mempertimbang menambah peningkatan lebih banyak bank pada masa hadapan.

Apakah proses yang dilakukan pihak bank?

  • Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini.
  • Ia tertakluk kepada pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.

Berapakah kadar faedah yang dikenakan?

  • Faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara 4% hingga 5%.
  • Ia lebih rendah dan berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8% hingga 15%.

Bagaimana pembayaran pembiayaan dibuat?

  • KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank.
  • Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

-astroawani