Home » Anwar nafi PH sudah tolak MUDA, keputusan permohonan mungkin diketahui Rabu ini
Berita Dalam Negara Politik

Anwar nafi PH sudah tolak MUDA, keputusan permohonan mungkin diketahui Rabu ini

Anwar berkata, berkata rundingan masih berjalan dan terdapat beberapa kemajuan yang dicapai. – Gambar fail/ Shahir Omar

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan bahawa gabungan parti itu telah menolak kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat PKR malam ini, beliau berkata rundingan masih berjalan dan terdapat beberapa kemajuan yang dicapai.

“Tak betul (laporan PH tolak MUDA). Kita tengah runding, dan ada kemajuan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai laporan itu. 

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa sumber dalaman PKR memaklumkan bahawa PH memutuskan untuk menolak permohonan MUDA menyertai gabungan parti itu.

Portal tersebut mendakwa, sumber itu memberitahu PH memutuskan hanya mengadakan electoral pactdengan MUDA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu hanya akan diputuskan seawal Rabu ini oleh Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden akan putuskan. Kalau ada baca apa-apa daripada bukan media arus perdana, kita tak boleh nak sahkan. Kita perlu tunggu kenyataan rasmi daripada Majlis Presiden, seawalnya hari Rabu ini,” katanya lagi.

AWANI