Home » Kerja menyiapkan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary – USIA akan dimulakan selepas Aidilfitri: Sapawi
Berita Tempatan Politik

Kerja menyiapkan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary – USIA akan dimulakan selepas Aidilfitri: Sapawi

Sapawi berkata kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk tujuan itu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) komited untuk menyiapkan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary – USIA di Kota Marudu yang terbengkalai sejak lima tahun lalu, kata Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.


Beliau memberitahu, kerja-kerja pembinaan bagi menyiapkan pusat latihan itu akan dimulakan selepas Aidilfitri ini.


Jelas beliau lagi, kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk tujuan itu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.


Pusat latihan yang terletak di Kampung Marasinsim, Kota Marudu itu kata Sapawi, sebaik siap sepenuhnya, ianya diyakini akan dimanfaatkan bagi memperkasa pelajar lepasan Maahad Tahfiz Al-Quran di negeri ini dalam bidang kemahiran.

“Kerja-kerja menyiapkan pusat ini adalah kesinambungan daripada kerja-kerja pembinaan sebelumnya yang telah siap 70 peratus namun terhenti atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.


“Kita telah peroleh peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM2 juta ke RM3 juta untuk kerja-kerja penyiapan yang akan bermula selepas Aidilfitri ini dan siap sepenuhnya penghujung tahun ini juga,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar USIA di salah sebuah hotel dekat sini kelmarin.

Dalam pada itu, Sapawi berkata pusat itu kelak akan berfungsi untuk Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa pelajar lepasan tahfiz di Sabah dalam bidang TVET.


Katanya, bagi merealisasikannya, USIA akan bekerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Darul Redzuan (IKDAR) dan satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua belah pihak akan dimeterai selepas Aidilfitri ini.


“IKDAR akan bekerjasama dengan USIA dalam menyediakan latihan TVET kepada pelajar lepasan tahfiz ini sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma malah peringkat Ijazah.


“Pengambilan pelajar dan proses berkaitan untuk program di bawah IKDAR ini akan bermula dalam bulan Julai tahun ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Sapawi turut memaklumkan salah satu Pusat Pendidikan Islam USIA untuk kanak-kanak di Kampung Tanjung Aru kini sedang dalam pembinaan.


Katanya, projek itu telah siap 25 peratus dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan menyediakan pendidikan agama peringkat awal kepada kanak-kanak di kawasan itu.


“USIA Bahagian Sandakan, Tawau serta Semporna juga telah menyediakan kemudahan sama dan kita akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk mewujudkan persefahaman berkaitan pengisian pembelajaran di pusat-pusat ini,” katanya.


Terdahulu pada majlis iftar, Sapawi turut menyampaikan peruntukan USIA berjumlah RM58,000 untuk diagihkan kepada semua bahagian USIA bagi memperkasa aktiviti dakwah dan pengurusan masing-masing.

— Kenneddy Corlleus