Home » Vinoun Films keluarkan buku aktiviti kanak-kanak papar watak tempatan
Berita Tempatan Politik

Vinoun Films keluarkan buku aktiviti kanak-kanak papar watak tempatan

ALBUM: Joniston (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan semasa kunjungan terbabit.

KOTA KINABALU: Syarikat penerbitan filem yang berpangkalan di Sabah, Vinoun Films menerbitkan buku kanak-kanak yang memaparkan pelbagai tarikan serta aktiviti menyeronokkan di kawasan Kudat.


Buku terbabit direka bentuk untuk panduan mewarna bagi Rajawali Homes di Kota Marudu dan dijadikan sebagai hadiah percuma kepada kanak-kanak yang menginap di hotel bersama keluarga.


Dua watak utama burung yang memakai pakaian tradisional Kadazan Dusun juga dipaparkan di dalam buku terbabit yang seluruh buku membawa watak Kondiu, yang bermaksud helang dalam bahasa Kadazan Dusun dan Odu iaitu nenek.


Pasukan penerbitan yang diketuai Pengasas Bersama Rachel Ongkili bertemu dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai untuk memperkenalkan buku ‘Adventures of Kondiu’ dan Odu serta meneroka peluang bagi menjalankan kerjasama dengan STB.


Rachel semasa memberi taklimat dalam kunjungan terbabit berkata, buku berkenaan adalah salah satu langkah bagi meneroka kawasan utara Sabah kepada pengunjung yang menginap di hotel berkenaan.


“Buku aktiviti ini mendedahkan beberapa tempat menarik sepanjang perjalanan dari Kota Belud ke Kudat melalui permainan dan ilustrasi.


“Kita akan bekerjasama dengan beberapa hotel lain bagi meletakkan buku ini di premis mereka berikutan kita juga merancang untuk meluaskannya ke Bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Pantai Timur.


“Kita juga sedang mempertimbangkan untuk menghasilkan animasi kanak-kanak sebagai salah satu cara memperkenalkan bahasa serta budaya asli di Sabah,” katanya sambil menambah watak Kondiu dan Odu didaftarkan sebagai harta intelek untuk Vinoun Films.


Sementara itu, Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memuji karya kreatif Vinoun Films yang mempamerkan budaya Sabah melalui animasi serta buku.


Katanya, usaha itu dilihat mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat tempatan dan membantu memelihara serta mempromosi identiti budaya Sabah.


“Saya melihat penghasilan filem dan buku animasi berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di Sabah, kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan pelancongan serta mempromosikan perniagaan tempatan.


“Produksi ini boleh membantu meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang budaya serta ciri-ciri unik Sabah, terutama dalam kalangan kanak-kanak baharu mula belajar tentang warisan budaya mereka.


“Melalui animasi dan buku, artis serta penulis tempatan dapat mengutarakan diri secara kreatif sekali gus mempamerkan bakat sehingga membawa kepada pengiktirafan, peluang yang lebih besar kepada individu tersebut,” katanya sambil menambah identiti budaya juga lebih kukuh untuk Sabah secara keseluruhannya.


Joniston berharap agar watak animasi yang mewakili semua kumpulan etnik Sabah dapat direalisasi, manakala STB sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh membantu meningkatkan profil negeri melalui pelancongan pendidikan serta kebudayaan.

— Vivi Olviana Najurus