AYER KEROH: Seorang pengajar kelas renang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya yang berusia 16 tahun, sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 36 tahun membuat pengakuan berkenaan sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta lengkap hukuman.
Mengikut 11 pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang kini berusia 16 tahun.
Tertuduh turut didakwa atas lapan pertuduhan di bawah Seksyen 377CA kanun sama atas pertuduhan melakukan seks menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi 12 pertuduhan lagi, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan kerana dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu dengan cara memegang anggota sulitnya bagi tujuan seksual.
Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan kerana merogol mangsa sama setelah usianya melepasi 16 tahun.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara Januari 2020 sehingga 14 Mac 2023 lalu iaitu sejak remaja berkenaan berusia 13 tahun di rumah mereka di Taman Maju, Jasin.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tarikh hukuman lain sementara menunggu fakta lengkap hukuman.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu hanya mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang rayuan selepas semua dakwaan iaitu masing-masing 16 pertuduhan dalam setiap prosiding dibacakan terhadapnya.
Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri kemudian menerima permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh jatuh hukum.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, bapa tiri serta ibu kandung mangsa yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).
Pasangan itu dipercayai terlibat dalam kejadian rogol anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.
Perbuatan suspek yang dipercayai turut diketahui isterinya itu terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri selama 18 hari memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.
Ibu kandung mangsa yang juga penjual nasi lemak bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.
Add Comment