Home » PRU15 perlu untuk dapatkan mandat sah daripada rakyat – Bung
Berita Tempatan

PRU15 perlu untuk dapatkan mandat sah daripada rakyat – Bung

Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini perlu diadakan untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang mendapat mandat yang sah daripada rakyat.

“Keputusan pembubaran Parlimen ke-14 ini tepat pada masanya untuk mendapatkan mandat baharu dari rakyat memilih kerajaan baru yang mampu membawa kepada kestabilan politik negara dan ini merupakan sebahagian dari proses demokrasi yang perlu dihormati,” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas beliau mengenai pembubaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, pembubaran ini juga akan menghentikan tohmahan beberapa pihak yang kerajaan dipilih pada hari ini adalah kerajaan “Pintu Belakang” dan “Kerajaan Tebuk Atap”

Bung berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah dalam satu penggal yang sama berlaku pertukaran tiga kali kerajaan dan Perdana Menteri yang menunjukkan keadaan politik negara tidak stabil sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“PRU15 kali ini, rakyat perlu bijak memilih kerajaan untuk menerajui negara. Konsep fikir sebelum undi penting bagi mewujudkan kestabilan politik selain tidak mengulangi episod pada PRU14 memilih parti yang bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikan tetapi juga gagal membawa kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.

Susulan itu katanya, pengundi perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pemimpin berkualiti bagi memulihkan kestabilan politik sekali gus memacu semula ekonomi negara.

“Secara dasarnya, ekonomi negara belum lagi pulih memandangkan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuklah pertukaran kerajaan dan Covid-19 menyebabkan situasinya tidak menentu.

Dalam pada itu, Bung berkata, usaha memulihkan ekonomi negara memerlukan politik yang stabil bagi menarik kedatangan pelabur ke Malaysia.

“Kalau politik tidak stabil, negara ini bukanlah menjadi keutamaan pelabur. Jika kita lihat di Indonesia, mereka ada banyak pelabur kerana tidak bercakap tentang politik selepas pertandingan Presiden selesai,” katanya.

Mengenai persediaan BN Sabah untuk menghadapi PRU15 kali ini Bung berkata, BN Sabah telah pun bersiap sedia menghadapinya dan ini termasuklah pelancaran jentera BN yang telah diadakan dan akan diteruskan di beberapa zon yang belum dilancarkan.

Dalam perkembangan yang sama, Bung berkata, BN Sabah akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 kali ini di mana rundingan sedang berjalan dengan baik dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh yang terdekat ini.

Mengenai calon-calon di Sabah yang akan mewakili BN dalam PRU15 kali ini Bung berkata, BN Sabah sudah pun mengenal pasti calon berpotensi untuk bertanding dan akan memuktamadkan senarai calon kepada BN Pusat setelah rundingan bersama GRS selesai.

“Pada siri jelajah Gelombang Biru dan pelancaran jentera BN yang telah kita laksanakan, sokongan peringkat akar umbi cukup meyakinkan semua persiapan BN Sabah untuk mengekalkan kemenangan dahulu dan akan dapat memberikan seberapa banyak kerusi untuk membantu BN menawan Putrajaya,” katanya.

wartaoriental

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment