Home » Bot karam di Nabawan: Dua mangsa ditemukan, seorang masih hilang
Berita Tempatan

Bot karam di Nabawan: Dua mangsa ditemukan, seorang masih hilang

NABAWAN: Dua daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan Kg Sin-Singon Sepulut pada 11 April telah ditemukan, manakala pencarian masih diteruskan terhadap seorang yang masih hilang. 

Setakat kelmarin, iaitu operasi mencari dan menyelamat hari keempat, pasukan SAR telah menemukan mayat seorang budak lelaki berusia 9 tahun, iaitu seorang daripada lima mangsa bot karam, dan seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan salah seorang kampung yang terlibat dalam operasi SAR tetapi dilaporkan turut hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBT Faisal Ahmad berkata, berikutan penemuan terbaru ini operasi SAR kini ditumpukan kepada mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun. 

Ops SAR memasuki hari kelima hari ini. 

Kejadian pada 11 April itu melibatkan lima sekeluarga di mana bapa yang berusia 36 tahun dan anak lelaki berusia 5 tahun berjaya menyelamatkan diri manakala ibu yang berusia 26 tahun ditemukan lemas dan dua anak iaitu lelaki berusia 9 tahun (yang telah ditemukan) dan peremupuan 7 tahun (belum ditemukan) dilaporkan hilang. 

Turut hilang mangsa keenam iaitu seorang lelaki berusia 38 (telah ditemukan) yang telah turut serta dalam pasukan SAR orang kampung yang tergelincir dan jatuh ke dalam sungai sebelum dilaporkan hilang.

wartaoriental