Home » Ahli Parlimen GRS-Tawau minta syarikat penerbangan tidak ambil kesempatan
Berita Tempatan Politik

Ahli Parlimen GRS-Tawau minta syarikat penerbangan tidak ambil kesempatan

Lo mencadangkan supaya kerajaan perlu mewujudkan peraturan dan bantuan kewangan kepada rakyat yang mahu pulang ke kampung pada musim perayaan sebagai penyelesaian jangka masa pendek.

TAWAU: Ahli Parlimen GRS-Tawau, Lo Su Fui menzahirkan kebimbangan terhadap syarikat penerbangan komersil yang meletakkan harga tiket yang tidak munasabah dan terlalu tinggi pada musim perayaan.


Katanya, ramai rakyat Sabah yang belajar dan bekerja di semenanjung Malaysia menghadapi kesukaran balik berhari raya bersama keluarga kerana harga tiket yang tidak masuk akal.


“Syarikat penerbangan diminta supaya menunjukkan rasa belas kasihan terhadap rakyat Sabah yang ingin balik berhari raya terutamanya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Saya faham kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan kerana musim perayaan terlalu banyak permintaan, namun ia perlu munasabah, bukannya mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.


Menurutnya, semua rakyat baharu mahu memulakan kehidupan normal dan sumber ekonomi juga masih belum pulih sepenuhnya selepas pandemik COVID-19.


“Tindakan syarikat penerbangan yang menaikan harga tiket ini sangat membebankan rakyat Sabah yang tinggal di semenanjung.


“Justeru, saya menggesa supaya syarikat penerbangan lebih bersikap empati terhadap rakyat yang mahu pulang berhari raya,” katanya.


Lo mencadangkan supaya kerajaan perlu mewujudkan peraturan dan bantuan kewangan kepada rakyat yang mahu pulang ke kampung pada musim perayaan sebagai penyelesaian jangka masa pendek.


“Penyelesaian jangka masa panjang pula, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat penerbangan supaya wujudnya persaingan.


“Kementerian yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat Sabah dapat dilindungi,” katanya.


Beliau turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan supaya tidak sesekali mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika musim perayaan kerana ia boleh mengundang kemarahan rakyat Sabah.

— Hamzah Sanudin