Home » Kerajaan diminta cari solusi atasi masalah harga tiket penerbangan
Berita Tempatan Politik

Kerajaan diminta cari solusi atasi masalah harga tiket penerbangan

TAWAU: Kementerian Pengangkutan perlu mencari solusi segera bagi mengatasi isu harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi pada musim perayaan.


Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, isu ini setiap tahun menghantui rakyat Sabah apabila menjelang musim perayaan.


Katanya, setiap kali musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidifitri, harga penerbangan daripada semenanjung ke Sabah atau sebaliknya akan naik secara mendadak.


“Masalah ini menjadi isu hangat kerana ramai rakyat Sabah yang mahu pulang ke kampung halaman berhari raya terpaksa melupakan hasrat mereka disebabkan harga tiket terlalu tinggi.


“Justeru, kita mengharapkan Kementerian Pengangkutan memberi perhatian yang serius bagi memastikan harga tiket dapat dikawal dan mampu dibeli oleh rakyat,” katanya ketika ditemui media, di sini .


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, isu ini juga sudah dibangkitkan pada sidang Parlimen, namun sehingga kini ia masih terus berlaku dan menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat.


“Sebenarnya ramai rakyat Sabah yang terbeban dengan masalah harga tiket terlalu tinggi terutamanya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.


Suryady berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan lagi pilihan penerbangan khususnya daripada semenanjung ke Sabah.


“Dengan cara ini, lebih banyak pilihan penerbangan yang boleh dipilih oleh rakyat dan syarikat penerbangan juga boleh bersaing dari segi harga.


“Rakyat Sabah yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman diharapkan dapat bersabar dan gunakan teknologi yang ada untuk berhubung dengan keluarga masing-masing,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment