Anggota polis menguruskan mayat Rosmali yang ditemui di dalam kenderaannya di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi.
KUALA NERUS – Pencarian seorang isteri selama hampir 34 jam untuk menjejaki suaminya yang hilang berakhir pilu apabila mayat lelaki itu ditemukan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Tok Jembal di sini malam tadi.
Mayat mangsa, Rosmali Abdul Rahman, 44, yang di[percayai mengalami serangan jantung ditemui tersandar di tempat duduk pemandu MPV jenis Toyota Wish di tepi jalan di lokasi tersebut pada pukul 7.15 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, Rosmali dikatakan tidak pulang setelah keluar dari rumahnya di kuarters sebuah sekolah menengah di daerah ini pada pukul 8.45 pagi.
“Isterinya memberitahu mangsa keluar rumah untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, namun tidak pulang ke rumah seperti biasa.
“Dia juga gagal dihubungi sebelum isterinya melaporkan kehilangan mangsa kepada polis semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, wanita itu keluar mencari suaminya sebelum terserempak dengan Toyota Wish milik Rosmali di tepi jalan di Kampung Tok Jembal.
Rosmali ditemui dalam keadaan keadaan tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Add Comment