Home » Fahmi patut rasa malu selepas OPR naik, kata Tun Faisal
Berita Dalam Negara Politik

Fahmi patut rasa malu selepas OPR naik, kata Tun Faisal

Tun Faisal berkata kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk menurunkan harga barang dan mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat, malangnya sebaliknya yang berlaku apabila OPR dinaikkan.

KUALA LUMPUR: Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyindir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selepas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu berkata Fahmi sepatutnya rasa malu apabila pengumuman OPR naik dibuat hari ini yang disahkan bukan berita palsu, ia selepas dakwaan fitnahnya sebelum ini berhubung laporan analisis oleh sebuah portal berita dalam isu OPR.

“Rupanya benda benar, bukan fitnah. Fahmi fadzil patut rasa malu. Tahniah la walanon dan malaun HANAT, formula kerajaan Harapan National (HANAT) ni memang hebat dan di luar tabii,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook.

Tun Faisal berkata kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk menurunkan harga barang dan mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat, malangnya sebaliknya yang berlaku apabila OPR dinaikkan.

“Ingatkan OPR makin turun, rupanya bawah PM10 (Perdana Menteri) dan Rafizi (Ramli) formula luar tabii berjaya menaikkan OPR, harga barang yang patutnya turun. Yang patut naik macam gaji, dividen ASB (Amanah Saham Bumiputera) tak naik-naik pula,” ujarnya lagi.

Terdahulu, BNM pada Rabu membuat langkah mengejut apabila mengumumkan kadar OPR baharu hari ini yang secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pinjaman yang dibuat oleh rakyat, ia secara tidak langsung menambah peningkatan kepada bayaran balik.

Untuk rekod, OPR dinaikkan empat kali berturut-turut sejak Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Fahmi sebelum ini mendakwa laporan analisis berhubung kenaikan OPR adalah satu fitnah, ia susulan ramalan OPR akan naik sebanyak 25 mata peratus pada Julai.

Membalas pada ruangan komen akhbar itu di Facebook yang menyebut: “OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai”, Fahmi berkata kenyataan tersebut adalah fitnah kerana ia adalah pandangan penganalisis, bukan keputusan BNM.

— AD EDITOR