Home » Biar pasukan peguam saya urus saman Mahathir – Anwar
Berita Am Berita Dalam Negara

Biar pasukan peguam saya urus saman Mahathir – Anwar

Anwar sebelum meninggalkan Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat, hari ini. Foto AFIQ RAZALI

KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pasukan peguamnya menguruskan tuntutan saman berjumlah RM150 juta yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dua hari lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana saman tersebut baharu sahaja dikemukakan pasukan peguam Mahathir.

“Biar pasukan peguam saya (uruskan kes saman berkenaan),” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Mahathir memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.

Selain itu, Mahathir mendakwa kenyataan Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri yang membawa kesan lebih teruk terhadap imej Mahathir berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.

KOSMO! ONLINE