Home » Sabah, Sarawak bakal punyai kuasa pentadbiran dalam pendidikan dan kesihatan
Berita Tempatan Politik

Sabah, Sarawak bakal punyai kuasa pentadbiran dalam pendidikan dan kesihatan

TERIMA KASIH: Fadillah (empat kiri) merakamkan gambar kenangan selepas menerima cendera kenangan pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sedang membincangkan usaha pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak terutamanya berkaitan pengambilan petugas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia antara perkara penting yang sedang dibincangkan melalui Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan dan kesihatan kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya, termasuk isu penting seperti pengambilan petugas seperti guru dan petugas kesihatan.


Beliau berkata apabila tawaran dibuka, kebanyakan kekosongan itu diisi calon yang tidak mahu bertugas di Sabah atau Sarawak kerana memikirkan kawasan pedalaman yang akhirnya jawatan itu diisi tetapi tiada pegawai untuk berkhidmat di negeri tersebut.


“Dalam konteks kuasa pentadbiran dalam pendidikan dan kesihatan (diberikan) kepada Sabah dan Sarawak khususnya pengambilan pekerja, kita dapat tentukan jawatan kosong diisi dan (calon) dapat bertugas di Sabah dan Sarawak.


“Pada masa ini, sedang kita menunggu kaedah dan terma yang akan dibentangkan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kita bincangkan bersama di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan sambutan Aidilfitri Lembaga Koko Malaysia (LKM), di sini hari ini.


Selain itu katanya, menerusi Sekretariat MA63 kerajaan Sabah dan Sarawak akan mengambil semula semua tanah-tanah yang diberikan kepada agensi persekutuan sekiranya gagal dibangun atau dimajukan dalam tempoh lima tahun.


Katanya, kerajaan Persekutuan secara konsepnya bersetuju untuk kerajaan Sabah dan Sarawak mengambil semula tanah yang diambil kerajaan Persekutuan.


“Dikembalikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, dengan bayar balik pampasan pada kadar yang diterima dahulu, kalau dibuat sebahagian pembangunan kemudian terbiar jadi akan dikembalikan juga kos membuat infrastruktur itu dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata, pada masa ini perkara tersebut sedang menunggu perbincangan dalam mesyuarat teknikal, yang sebelum ini ditangguhkan kerana Kementerian Kewangan belum dapat memuktamadkan beberapa perkara berkaitan.


Katanya dua, lagi perkara yang sedang dibincangkan adalah berkenaan formula menentukan  pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pembahagian Kerusi Parlimen lebih sesuai antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


“Jumlah pemberian (khas) interim kepada kerajaan Sabah dan Sarawak meningkat asalnya dulu kecil sekarang akan diagihkan hampir RM300 juta setiap tahun secara interim sementara kita masih berunding formula bagaimana kaedah tentukan pengagihan itu,” katanya.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment