Home » Urusan air di Sabah hak negeri – Shahelmey
Berita Tempatan Politik

Urusan air di Sabah hak negeri – Shahelmey

Shahelmey berkata Kerajaan negeri mengalu-alukan tawaran Perdana Menteri untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan menyerahkan urusan bekalan air di negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi mengalu-alukan bantuan bakal diberi bagi mengatasi masalah air seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya, berkata segala perkara berhubung pengurusan air di Sabah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, mengakui kos penyelarasan dan pengurusan bekalan air di negeri itu membabitkan peruntukan yang sangat besar.


Susulan itu, katanya, kerajaan negeri memerlukan bantuan sama ada geran atau pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek bekalan air di Sabah demi kesejahteraan rakyat.


“Kita mengalu-alukan tawaran Perdana Menteri untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.


“Jika kita lihat video beliau ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan (Ahad lalu), kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri adalah Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah air di Sabah dan Kelantan.


“Ia tidak secara spesifik mengatakan (Kerajaan Pusat) akan datang mengambil alih urusan air di Sabah, sebab urusan berkenaan air adalah urusan kerajaan negeri.


“Sebab itu, saya nyatakan kita mengalu-alukan bantuan Kerajaan Persekutuan tetapi bukan kita menyerahkan urusan air Sabah kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Hotel Raia di sini.


Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury.


Sementara itu, Shahelmey berkata, pelaksanaan Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPBS) membabitkan 15 pakej kerja hampir siap sebanyak 79.06 peratus.
Katanya, daripada keseluruhan 15 pakej itu, sebanyak dua pakej dibuka sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya.


Antara dua pakej terbabit ialah Pakej Kerja 27 bagi menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32 dan Pakej Kerja 5 membabitkan jalan dari Donggongon ke jalan Papar Spur pada tahun lalu.


Dua lagi pakej kerja iaitu Pakej Kerja 15 bagi menaik taraf jalan Tawau-Semporna dan Pakej Kerja 21 membabitkan pembinaan jalan Lahad Datu Bypass dijangka dibuka sepenuhnya pertengahan tahun ini.


Baki 20 pakej kerja bagi projek LPBS yang dijangka akan dimulakan penghujung tahun ini membabitkan kawasan pantai Timur Sabah.

–Rafiqah Dahali