Home » Kebakaran Mid Valley: GSC batal tayangan, wang dikembalikan
Berita Am Berita Dalam Negara

Kebakaran Mid Valley: GSC batal tayangan, wang dikembalikan

GSC berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu susulan kebakaran di Mid Valley Megamall, pagi tadi. – Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Semua tayangan di Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley akan dibatalkan dan pawagam akan ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Kenyataan itu dikeluarkan GSC pada Rabu susulan kebakaran di Mid Valley Megamall, pagi tadi.

Kenyataan itu memaklumkan biarpun pawagamnya tidak terjejas secara langsung, GSC bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pengurusan pusat beli-belah untuk memastikan keselamatan semua pihak. 

“Wang pembeli akan dikembalikan. Jika anda telah membeli tiket dalam talian, wang anda akan dibayar balik secara automatik.

“Jika anda telah membeli tiket di kaunter, sila simpan tiket itu dan kembali ke pawagam sebaik sahaja ia dibuka bagi urusan bayaran balik dalam tempoh tujuh hari.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali dan kami berterima kasih atas kerjasama anda. Keselamatan pelanggan dan pekerja kami adalah keutamaan kami,” kenyataan itu menyebut.

Terdahulu, media melaporkan Kebakaran berlaku di Mid Valley Megamall melibatkan bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di dalam pusat membeli-belah itu.

AWANI