Home » Majlis apresiasi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus meraih kecemerlangan: Ruslan
Berita Tempatan Politik

Majlis apresiasi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus meraih kecemerlangan: Ruslan

SAMPAIKAN: Ruslan (dua kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar sempena majlis itu.

BEAUFORT: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharram berharap majlis apresiasi yang dianjurkan di setiap sekolah akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan.

Sebagai pelajar katanya, mereka perlu memahami tanggungjawab sebagai penuntut ilmu dan pada masa sama menghayati kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang dipelajari di sekolah.


“Kalau pelajar terleka dan alpa, dibimbangi proses pembelajaran akan terbantut dan tersekat apabila sudah keluar dari alam persekolahan. Oleh itu mereka harus senantiasa istiqamah dalam soal pembelajaran tidak kira di rumah ataupun di sekolah.


“Insyaallah jika proses saling melengkapi antara kedua-dua institusi ini dapat dihayati, pasti pelajar akan berjaya memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan lahir sebagai modal insan yang dapat memenuhi aspirasi negara, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston di Gem Hotel dekat sini pada Khamis.


Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang telah menerima sijil dalam majlis tersebut, yang beliau percaya ianya hasil usaha gigih pelajar dan semua pihak.


“Saya percaya kejayaan pelajar pada hari ini bukan sahaja disebabkan oleh hasil pemusatan mereka terhadap pelajaran yang diajar, malah melibatkan kerja keras yang diusahakan mereka selama ini dengan dibantu warga guru di sekolah dan juga ibu bapa yang tidak jemu berusaha kearah pencapaian maksimum anak-anak.


“Kejayaan anak-anak pada keseluruhannya ialah hasil usaha secara kolaboratif daripada pelbagai pihak. Namun kecemerlangan hari ini perlu diteruskan kerana cabaran masa depan tentunya memerlukan kita bekerja lebih keras, dan pada masa sama mempelbagaikan strategi.


“Kita perlu bersedia setiap detik (menilai) dan bermusahabah diri untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki, hatta mempelajari daripada mereka yang lebih cemerlang.


“Pendidikan seharusnya bersifat seumur hidup, tidak akan ada noktah dalam proses menuntut ilmu. Dan saya harap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan ini akan dilipat gandakan lagi agar  kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment