Home » RUU Anti Lompat Parti dibentang pada sidang DUN Sabah
Berita Tempatan

RUU Anti Lompat Parti dibentang pada sidang DUN Sabah

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Utusan Malaysia, Christina yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah itu berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan menyokong RUU berkenaan.

“Berdasarkan pemahaman saya, kerajaan negeri akan membentangkan RUU ini pada sidang DUN ini.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri. Saya tahu dari mana kekeliruan ini timbul namun, ia (RUU) akan dibentangkan,” katanya semasa sidang akhbar Festival Burung Asia (ABF) ke-12, hari ini.

ADUN Api-Api itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya bahawa RUU Anti Lompat Parti mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN kali ini.

Beliau berkata, sekiranya RUU itu tidak sempat dibentangkan maka, sidang DUN khas mungkin akan diadakan bagi membolehkan ADUN mempunyai masa mencukupi untuk berbahas mengenai RUU berkenaan.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk membentangkan usul persendirian RUU Anti Lompat Parti seperti yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Christina berkata, ABF ke-12 akan diadakan pada 13 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan festival terbesar Asia itu dijangka mampu menarik kira-kira 2,000 orang pengunjung.

Festival yang dijangka disertai oleh seramai 50 peserta pameran dari seluruh Asia itu akan membantu mempromosikan pelbagai pakej pelancongan bagi mereka yang gemar mengambil gambar burung. 

wartaoriental

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment