Home » Ketua Menteri kagum kekuatan Buatin takluki puncak Kinabalu pada usia 90 tahun
Berita Tempatan

Ketua Menteri kagum kekuatan Buatin takluki puncak Kinabalu pada usia 90 tahun

Hajiji berbual mesra bersama Buatin sambil diperhatikan oleh Juil dan Armizan semasa menerima kunjungan warga emas luar biasa itu di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: “Saya cukup gembira dan terharu kerana berpeluang bersemuka dan berbual dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Ini merupakan satu penghargaan yang sangat bermakna kepada saya.” Demikian reaksi Buatin Balandong, warga emas berusia 90 tahun yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu ketika menemui Ketua Menteri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Buatin yang berasal dari Papar merupakan pendaki tertua berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

Beliau yang juga seorang pesara kerajaan, mencipta rekod terbaru itu pada awal September 2022 apabila berjaya sampai di puncak tertinggi negara, sambil dipimpin oleh anaknya.

Hajiji yang kagum dengan keupayaan Buatin mengucapkan tahniah diatas kejayaannya mendaki gunung Kinabalu pada usia 90 tahun.

Hajiji memimpin tangan Buatin semasa menerima kunjungan warga emas luar biasa itu di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

Bagi menghargai kejayaan luar biasa itu, Hajiji menghadiahkan Sigar (tanjak) kepada Buatin.

Buatin diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan dua orang anaknya Andrew dan Doris. 

Juil merupakan cucu Buatin, sementara Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali adalah cicit beliau.

“Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai stamina tinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengkagumkan,” kata Hajiji.

Berkongsi pengalamannya melakukan pendakian itu bersama Hajiji, Buatin berkata, tanpa semangat dan jiwa yang kuat dan kental, tidak mungkin beliau mampu melakukannya kerana pada hari pendakian, hujan turun dengan lebat, berkabus dan cuaca juga amat sejuk ketika itu.

“Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Itu merupakan pendakian saya yang kelapan kali. Kali terakhir saya mendaki Gunung Kinabalu ialah pada tahun 2015, sebelum berlaku gempa bumi,” jelasnya.

Buatin dikenali sebagai ‘atok’ oleh netizen apabila sebuah rakaman yang dikongsikan pengguna TikTok @iceeminn123 memaparkan detik-detik kejayaan beliau ketika sampai di puncak tertinggi negara, sambil dipimpin seorang pendaki lain, awal September lalu.

wartaoriental