Kerjasama dengan Rusia itu boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara walaupun Malaysia kini mengimport gandum dari negara lain. – Gambar hiasan/Unsplash
MOSCOW: Malaysia mengiktiraf kualiti bijirin Rusia dan merancang untuk membelinya bagi pengeluaran makanan haiwan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Tidak dinafikan, bijirin Rusia berkualiti tinggi berdasarkan kedudukannya sebagai pengeksport utama dunia dan oleh itu Malaysia sedang mempertimbang membeli bijirin Rusia sebagai antara sumber berpotensi untuk makanan haiwan dan membantu menstabilkan kemampuan bekalan ayam dalam negara,” katanya, lapor Sputnik.
Beliau berkata kerjasama dengan Rusia dalam bidang itu boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara walaupun Malaysia kini mengimport gandum dari negara lain.
“Malaysia sedang mengenal pasti makanan haiwan yang berkualiti tinggi pada harga yang lebih baik dan kesefahaman ini boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga sedang mengkaji untuk membeli baja dari Rusia untuk sektor pertanian negara.
“Oleh itu, kita perlu meneroka pilihan baja pada harga yang baik dari Rusia yang merupakan strategi yang baik memandangkan Malaysia juga mencari jalan untuk mengurangkan kos input pertanian yang menyumbang kepada penurunan harga makanan yang kini tinggi,” katanya.
Mohamad berkata Rusia negara terkemuka di dunia yang mengeksport bahan mentah berkualiti tinggi untuk pengeluaran baja.
“Antara bahan mentah yang dieksport oleh Rusia ialah gas asli, urea, ammonium sulfat dan asid fosforik. Oleh itu Malaysia meminta Rusia menimbang untuk menawarkan peluang perdagangan baja negara itu bagi meminimumkan lagi gangguan rantaian bekalan khususnya harga dan bekalan input berkualiti tinggi. Kami akan menghantar pegawai ke Rusia untuk membincangkan isu ini,” katanya.
Sementara itu, Malaysia juga berharap memperoleh akses yang lebih mudah bagi kemasukan pelancong dan eksport makanan ke Rusia.
Malaysia sedang mengenal pasti peluang untuk membekalkan buah-buahan tropika dan produk akuakultur seperti udang ke Rusia, yang kini membeli nanas dari Costa Rica dan mangga dari Afrika Selatan.
Mohamad Sabu turut mengundang Menteri Pertanian Rusia Dmitry Patrushev ke Malaysia untuk menandatangani memorandum persefahaman yang “mungkin menjurus kepada FTA (perjanjian perdagangan bebas).”
Pada masa ini, katanya kumpulan kerja Rusia dan Malaysia terlibat dalam menghapuskan semua kemungkinan halangan perdagangan antara negara.
Terdahulu, Patrushev berkata Rusia tidak sabar untuk menambah bekalan makanan ke Malaysia kerana terdapat potensi besar dalam eksport minyak bunga matahari dan kacang soya, gandum, kacang, ayam, daging lembu, produk tenusu dan ikan.
Dagangan barangan pertanian Rusia-Malaysia meningkat sebanyak 18 peratus pada 2022, menurut Kementerian Pertanian Rusia.
— BERNAMA
— AWANI
Add Comment