MIKEL Arteta memohon maaf ketika dia merenung tentang ‘hari yang sangat menyedihkan’ selepas harapan Arsenal untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris ditamatkan dengan kekalahan 1-0 di Nottingham Forest.
Manchester City disahkan sebagai juara selepas jaringan separuh masa pertama Taiwo Awoniyi menyaksikan Forest memperoleh tiga mata yang memastikan status liga teratas mereka.
The Gunners, yang menghadirkan permainan yang konsisten di awal saingan, menghabiskan 248 hari di puncak liga dan mendahului lapan mata ke atas City pada bulan Mac.
Tetapi kejatuhan yang membimbangkan menyaksikan mereka dipintas oleh skuad kendalian Pep Guardiola yang merangkul kejuaraan kelima dalam enam musim.
Tiada pasukan lain yang menghabiskan lebih banyak masa di puncak liga dan gagal merangkul kejuaraan, menyebabkan Arteta cukup kecewa.
“Hari yang sangat menyedihkan, terlalu banyak emosi, kami kalah dalam perlawanan itu, kami kehilangan kejuaraan selepas berjuang untuk tempoh yang panjang,” katanya.
“Kami membina banyak ilusi dan kepercayaan bahawa kami boleh memenanginya dan akhirnya kami gagal. Tahniah kepada Man City, mereka adalah juara, mereka layak menjadi juara, mereka telah melakukannya selama 38 perlawanan, kami tidak dapat melakukannya.
“Itu sahaja dan daripada pihak saya memohon maaf kerana kami telah membina kepercayaan bahawa kami boleh melakukannya dan akhirnya pasukan tidak dapat melakukannya dan itu adalah tanggungjawab saya.
“Kami gagal dan ini adalah tugas dan tanggungjawab saya, saya perlu menganalisis dan berfikir.
“Hari ini kami sepatutnya bermain lebih baik, kami memberi mereka satu gol dan memberi mereka peluang sekali lagi untuk menjaringkan gol lain jika mereka mahu dan kami gagal untuk menghalang pasukan lawan.”
Add Comment