Home » Tahu berita kehilangan anak melalui Facebook, ibu harap Hawari ditemui selamat
Berita Am Berita Dalam Negara

Tahu berita kehilangan anak melalui Facebook, ibu harap Hawari ditemui selamat

Che Tom mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia agar anak ketiga dari lima beradik itu ditemui dalam keadaan selamat dan urusan pencarian anaknya dipermudahkan. – Foto Astro AWANI


KEPALA BATAS:
Hanya tahu berita kehilangan anak melalui Facebook, dan harap anak ditemui dengan selamat.

Demikian luahan hati Che Tom Hassan, 64 tahun, ibu kepada peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim, sewaktu ditemui di kediamannya di Permatang Kerai Besar, di sini.

Menurutnya, dia mengetahui berita kehilangan anaknya itu kira-kira jam 11 pagi Sabtu dan berasa terkejut memandangkan dia sebelum itu baharu sahaja dimaklumkan mengenai kejayaan anaknya menawan Gunung Everest.

Difahamkan, operasi mencari dan mengesan Muhammad Hawari, 33 tahun, orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, sedang giat dijalankan dan skop pencarian kini dilakukan di bahagian darat.

Sehubungan itu, Che Tom mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia agar anak ketiga dari lima beradik itu ditemui dalam keadaan selamat dan urusan pencarian anaknya dipermudahkan.

“Kami sekeluarga kebanyakannya tengok (perkembangan anak) di Facebook. Jadi, masa itu, sedang tunggu nak dapat berita. Berita gembira kejayaan, kami dapatlah.

“Jadi, saya minta sangat doa semua untuk anak saya. Semasa hendak pergi ke sana dulu, dia minta doakan dia, dia minta waris jangan susah hati.

“Kepada satu Malaysia, saya minta sangat-sangat, doakan dia, sebab saya tak dapat hubungi dia langsung,” kata Che Tom kepada media hari ini.

Turut hadir, Isteri Muhammad Hawari dan dua anak mereka namun wanita itu enggan ditemu bual.

Che Tom berkata, ahli keluarga dan sahabat handai Muhammad Hawari sudah melakukan solat hajat dan bacaan Yassin bagi mendoakan keselamatannya.

Katanya, dia bimbang dengan keadaan Muhammad Hawari namun tetap menaruh harapan tinggi serta mengharapkan ‘keajaiban’ Tuhan agar anaknya itu ditemui segera.

Tambahnya, keluarga ada cuba menghubungi pasukan Muhammad Hawari untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai anaknya namun gagal.

Pada 2 April lalu, Muhammad Hawari yang bertugas di Muzium Pulau Pinang, menyertai ME 2023 bersama tiga pendaki lain melibatkan ketua misi Azim Afif Ishak, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub dan Tiong Ling Yang.

Bagaimanapun Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut dan meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Jumaat.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment