Home » Sekitar 5,000 pengunjung hadir rumah terbuka Aidilfitri Isnin
Berita Tempatan Politik

Sekitar 5,000 pengunjung hadir rumah terbuka Aidilfitri Isnin

SILATURAHIM: Isnin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pengunjung sempena majlis itu.

BEAUFORT: Kira-kira sekitar 5,000 pengunjung menghadiri rumah terbuka ‘Santai Hari Raya Aidilfitri’ Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih yang diadakan di Kampung Landayan Takuli dekat sini pada Jumaat.

Pengunjung mulai tiba lebih awal daripada jadual walaupun majlis dijangka bermula sekitar jam empat petang yang dimanfaatkan oleh mereka untuk meluangkan masa bersama wakil rakyat mereka, sebelum majlis bermula.


Pelbagai aneka makanan, juadah serta minuman disajikan kepada pengunjung sempena rumah terbuka beliau yang sungguh menyelerakan.

Pengunjung yang hadir pada rumah terbuka itu bukan sahaja datang dari sekitar Beaufort tetapi juga daerah lain malah ada sebahagian dari ibu negeri, Kota Kinabalu semata-mata ingin bersua muka dan beramah mesra dengan pemimpin yang hadir.


Kemeriahan suasana Aidilfitri begitu terasa malah Isnin ketika ditemui menyifatkan rumah terbuka beliau amat meriah dengan kehadiran pelbagai bangsa, kaum dan anutan yang membuktikan secara jelas perpaduan menjadi pegangan utama rakyat di Sabah.


Perpaduan di Sabah juga kata Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, jelas menggambarkan betapa utuhnya toleransi dan persefahaman serta semangat kekitaan walaupun terdiri daripada kepelbagaian budaya.


“Terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan yang sudi bertandang ke majlis rumah terbuka saya yang diadakan di Kg Landayan dan semoga pertemuan sempena perayaan ini dapat merapatkan lagi silaturahim kita.


“Harap semua yang hadir gembira menikmati juadah yang disediakan, mohon maaf jika ada kekurangan sepanjang majlis berlangsung, maklumlah kehadiran melebihi jangkaan mungkin ada yang tidak saya sempat bersembang lama, ” katanya.


Salah seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Ajijul dari Beaufort menyifatkan majlis yang diadakan itu sungguh meriah memandangkan sebelum ini tidak dapat diraikan beramai-ramai ekoran pandemik.


Katanya, selain berpeluang bersemuka dengan wakil rakyat beliau juga berpeluang bertemu dengan kenalan rapat dalam majlis santai itu, sambil menikmati aneka makanan yang disediakan.