Jumaat lepas, Muhammad Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan itu ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu. – Fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim, 33, seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang pada Jumaat di kawasan pergunungan Everest, diteruskan di kawasan ceruk, selain menjejaki telefon bimbitnya.
Pengurus Pasukan Misi Malaysia Everest 2023 (ME23) Ayu Wanirah Naharuddin berkata operasi itu dikendalikan oleh salah seorang pendaki, Tiong Ling Yang, yang turut dikenali sebagai Vincent.
Beliau berkata SAR menerusi udara telah dilakukan semalam namun tidak menemukan kesan manusia di kawasan pendakian.
“SAR darat di kawasan ceruk terus dilakukan di atas Kem Dua. Mencari di ceruk memerlukan tenaga mahir dan kita telah kerahkan sebanyak mungkin tenaga mahir yang ada di kawasan sekitar.
“Kita telah jumpa jaket Gore-Tex yang mengandungi ‘recco’ (sejenis peralatan pengesan) milik Muhammad Hawari di Kem Dua. Pihak (Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu) telah berhubung dengan polis Nepal untuk bantuan menjejaki iPhone milik Muhammad Hawari,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Jumaat lepas, Muhammad Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan itu ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.
Pada hari sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga peserta misi disahkan meninggal dunia selepas terjatuh semasa pendakian sehari sebelumnya.
Ayu Wanirah berkata terdapat sekumpulan orang Sherpa akan membuat pemeriksaan bagi mencari Muhammad Hawari di setiap khemah di Kem Dua, Tiga dan Empat, hari ini.
” (Pihak) Suunto Malaysia ada memberitahu akan membantu menjejaki pendaki tersebut sekiranya Hawari menyimpan segala aktiviti di dalam aplikasinya. Suunto juga melaporkan kejadian ini ke pihak berkuasa Finland untuk berkongsi data tersebut.
“Mereka akan cuba. Jika data tidak disimpan kita mungkin tak dapat cari Hawari tapi akan tetap cuba. Kini terserah kepada pihak polis Finland dan ibu pejabat Suunto,” katanya.
(Suunto ialah jam tangan pintar buatan Finland yang antaranya mempunyai ciri navigasi dan komunikasi, selain boleh menyimpan data berkaitan aktiviti penggunanya)
Selain itu, Ayu Wanirah berkata usaha membawa turun jenazah Awang Askandar dari Everest Base Camp ke Kathmandu, Nepal sedang giat dijalankan yang dikendalikan sendiri oleh beliau.
“Enam orang Sherpa akan berada di Kem Empat menjelang petang ini. Esok pagi, jenazah akan dibawa turun ke kawasan selamat bagi helikopter melakukan ‘long line rescue’. Seterusnya akan dibawa ke Kathmandu, Nepal.
“Pihak kedutaan (Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu) berhubung rapat dengan saya dan mereka akan menerima jenazah tersebut di Kathmandu. Cuaca sekarang agak berawan dan bersalji, semoga cuaca baik esok,” katanya.
ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud dan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu turut disertai bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak yang juga ketua eskpedisi.
Misi itu bermula 2 April lepas. — BERNAMA
— AWANI
Add Comment