Home » Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu depan – Dr Zaliha
Berita Am Berita Dalam Negara

Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu depan – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan telah mendapat kelulusan daripada Setiausaha Parlimen untuk Kertas Putih Kesihatan dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang dijadual bermula minggu depan hingga 15 Jun ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata Kertas Putih Kesihatan itu bagaimanapun akan terlebih dahulu dibawa ke Kabinet pada minggu depan.

“Kita sedang mendapatkan tarikh sebenar untuk dibentang di Parlimen.

“Kita memang dah dapat persetujuan daripada Setiausaha Parlimen untuk bentang (Kertas Putih Kesihatan) di sesi Parlimen akan datang pada Jun.

“Selepas bentang, bila pula kita akan laksana? Apa yang kita bentang ini masih dalam peringkat konsep, tetapi kita sudah ada rangka yang meliputi empat tonggak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama media berhubung Kertas Putih Kesihatan, di sini.

Sidang Parlimen akan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.

Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bermatlamatkan ke arah satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Selain itu, menerusi Kertas Putih Kesihatan dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali untuk memantau dan memastikan pelaksanaan reformasi kesihatan yang efektif.

BERITA LANJUT MENYUSUL

-astroawani