Home » Pemandu e-hailing dituduh bunuh kanak-kanak lelaki 4 tahun
Berita Am Berita Dalam Negara Jenayah

Pemandu e-hailing dituduh bunuh kanak-kanak lelaki 4 tahun

Tertuduh didakwa membunuh Lee See Jie, 4, antara jam 8 hingga 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai pada 2 Oktober lalu. – Foto Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh Chan Wen Jie, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Lee See Jie, 4, antara jam 8 hingga 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai pada 2 Oktober lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam K Veeranesh Babu.

Mahkamah juga menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang pembantu rumah indonesia yang ditahan bersama tertuduh berdepan pertuduhan memasuki negara ini tanpa permit.

Tertuduh, Yuliana 40, dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula tarikh tangkapan selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen sah.

Mengikut kertas pertuduhan, Yuliana melakukan kesalahan di tempat sama pada 3 Oktober lalu, lebih kurang jam 10.15 pagi.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

AWANI