KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam meluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak, walaupun berdepan cabaran besar pandemik COVID-19.
Dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti, Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam kadar enrolmen prasekolah berikutan pembukaan semula sesi persekolahan.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata, kementerian akan cuba sedaya upaya merealisasikan impian komuniti yang mahukan semua kanak-kanak mendapat akses pendidikan awal tanpa batasan dengan kos yang mampu milik.
“Dengan permintaan tinggi serta sumber yang terhad, kami akan berusaha menubuhkan dua ke tiga kelas prasekolah di setiap sekolah rendah dan juga menengah.
“Pembangunan prasekolah baharu diharapkan dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran inklusif sekali gus menangani jurang sektor pendidikan terutama di kawasan terpencil.
“Kami akan teruskan misi untuk memastikan tiada satu kanak-kanak pun yang tercicir pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pelancaran laporan Tinjauan Pendidikan Prasekolah Malaysia pada Selasa.
Data oleh Kumpulan Bank Dunia menunjukkan dari 2009 sehingga akhir 2022, kadar enrolmen prasekolah meningkat daripada 67 peratus kepada 87 peratus, sekali gus membawa Malaysia lebih hampir kepada sasaran untuk mencapai kadar pendaftaran 91 peratus pada separuh pertama 2023.
Sehubungan itu, melalui komitmen bersama Kementerian Pendidikan, Malaysia akan terus meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti tinggi dengan menubuhkan 88 prasekolah awam tambahan di seluruh negara.
Add Comment