Nik Ahmad Shazwan Nik Mohamad berkata, Kerajaan negeri Kelantan menyasarkan tujuh juta kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu, tahun ini. – Gambar BERNAMA
KANGAR: Kerajaan negeri Kelantan menyasarkan tujuh juta kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu, tahun ini.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kebudayaan dan Pelancongan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Nik Ahmad Shazwan Nik Mohamad berkata, sasaran itu adalah berdasarkan peningkatan jumlah pelancong ke Kelantan pascapandemik COVID-19.
“Sebelum COVID-19 pada 2021, kerajaan negeri Kelantan telah meletakkan sasaran kemasukan enam juta pelancong, namun ia tidak dapat dicapai akibat wabak yang melanda dunia ketika itu.. jumlah kemasukan (kini) pelancong semakin bertambah dan kita yakin mampu tarik tujuh juta pelancong pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Festival Silang Budaya Perlis-Kelantan yang berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini.
Nik Ahmad Shazwan yang juga Pengurus Pusat Pelancongan Negeri Kelantan berkata, terdapat beberapa tarikan pelancongan baharu di negeri itu antaranya ialah Laman Warisan Kampung Laut bernilai RM20 juta yang dibuka secara rasmi tahun lepas.
“Tarikan utama yang terdapat di laman itu ialah Masjid Kampung Laut berusia lebih 400 tahun yang dipindahkan semula hampir ke tapak asal masjid itu selepas dipindah sementara di Nilam Puri, Kota Bharu selama 50 tahun sebelum ini,” katanya.
Katanya tarikan lain yang popular ketika ini ialah ‘Train to Dabong’ (Kereta Api ke Dabong), Gunung Stong dan beberapa tarikan ekopelancongan lain.
Mengulas mengenai festival tersebut yang merupakan anjuran kerajaan negeri Kelantan, Nik Ahmad Shazwan berkata, Perlis menjadi destinasi ketiga selepas Langkawi, Kedah pada Disember tahun lepas dan Kuala Lumpur pada Februari.
“Kita memilih Perlis kerana ia salah sebuah negeri yang menerima kemasukan pelancong yang tinggi, tujuan utama festival ini adalah untuk memperkenalkan budaya Kelantan kepada rakyat Perlis di samping turut mengenali budaya masyarakat Perlis,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung boleh melihat sendiri secara dekat pertunjukan kebudayaan negeri Kelantan antaranya rebana ubi, pembuatan wau, persembahan wayang kulit dan banyak lagi.
Nik Ahmad Shazwan berkata, pihaknya turut membawa bersama pengusaha produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta ahli persatuan hotel Kelantan yang menawarkan produk pelancongan.
Sementara itu, Exco Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad berharap orang ramai mengambil peluang cuti sekolah untuk sama-sama berkunjung ke festival itu. – BERNAMA
— AWANI
Add Comment