Home » Kerajaan lulus pemanjangan BIW kepada perkhidmatan ATM – Anwar
Berita Tempatan Politik

Kerajaan lulus pemanjangan BIW kepada perkhidmatan ATM – Anwar

MESRA: Anwar semasa bertemu dengan anggota ATM di Kem Lok Kawi semasa lawatan kerja di sini

KOTA KINABALU: Kerajaan meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkuatkuasa 1 Julai depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelulusan akan memanfaatkan 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan pada 2022.


“Pada dasar sebelum ini pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima Bayaran Insentif Sabah atau Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM). 


“Kadar BISS dan BISM yang diberikan bagaimanapun lebih rendah berbanding kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.


“Kelulusan pemanjangan ini dilaksanakan bagi mengambil kira asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya,” katanya.


Beliau mengumumkan kelulusan itu semasa berucap semasa lawatan kerja ke Kem Lok Kawi di sini.


Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan. 


Pada majlis sama Anwar turut mengumumkan projek baharu bernilai RM25 juta yang akan dilaksanakan di kawasan Lok Kawi.


“49 unit rumah terbiar akan dibangunkan semula untuk dijadikan 47 unit kuarters awam dan  sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi Papar,” katanya.


Beliau berkata beberapa projek sedia ada juga akan dilaksanakan segera tahun ini termasuklah Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Lok Kawi yang membabitkan kos sebanyak RM213 juta.


“Kita juga akan membina sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi dengan kos sebanyak RM23 juta manakala RM67 juta juga akan digunakan bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut.


“Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi juga akan dibaik pulih serta dinaik taraf menggunakan kos RM4.8 juta,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus