Home » Kementerian Sumber Manusia sedang rangka polisi bagi menjamin keselamatan sosial pekerja e-hailing
Berita Am Berita Dalam Negara

Kementerian Sumber Manusia sedang rangka polisi bagi menjamin keselamatan sosial pekerja e-hailing

BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manusia sedang merangka satu dasar bagi menjamin keselamatan sosial golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing agar tidak didiskriminasi oleh majikan.

Menterinya V. Sivakumar berkata ia kini di dalam proses penggubalan dasar di peringkat kementerian dan beliau menjangka akan menerima garis panduan berkenaan perkara itu daripada pegawainya dalam dua minggu lagi.

“Kementerian memang sedang merangka satu dasar untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu supaya golongan ini tidak didiskriminasi oleh majikan mereka, serta memberi mereka perlindungan sosial,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian tidak menolak cadangan penggubalan akta khas melibatkan pekerja e-hailing, bagaimanapun ia akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Katanya pihak kerajaan buat masa ini akan membuat dasar dahulu, dan kemudian mengkaji secara terperinci tentang keperluan penggubalan akta khas berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya pandangan beliau tentang keluhan para majikan berhubung kesukaran mencapai nisbah 80:20 bagi buruh tempatan dan asing, Sivakumar berkata para majikan perlu menawarkan kemudahan-kemudahan yang menarik selain meningkatkan gaji.

Katanya statistik ketika ini menunjukkan terdapat lebih 1.18 juta warga tempatan yang bekerja di Singapura manakala secara keseluruhan, terdapat 1.8 juta rakyat Malaysia yang bekerja di perantauan, oleh itu, majikan harus melihat perkara ini sebagai satu tanda bahawa kita bukanlah kekurangan tenaga pekerja.

“Kita ada pekerja tapi kerana isu tertentu dari segi gaji dan kemudahan yang lain, mereka lebih suka bekerja di negara jiran. Kita perlu bersama-sama meningkatkan tangga gaji walaupun kita tahu ia akan meningkatkan kos.

“Kita perlu melihat perkara ini secara serius untuk jangka masa panjang. Para majikan jangan terikat dengan gaji minimum RM1,500 sahaja sebaliknya juga perlu melihat kemudahan dan faedah lain supaya anak-anak kita tidak memilih untuk merantau,” katanya.

Karnival Kerjaya di Pulau Pinang hari ini menyaksikan penyertaan 56 majikan yang menemu duga calon-calon bagi mengisi 7,500 kekosongan jawatan yang menawarkan gaji bulanan sehingga RM9,500.

“Setakat 11.30 pagi ini, 552 orang telah mendapat pekerjaan di sini,” kata Sivakumar.

— BERNAMA