Home » 44 bakal jemaah haji Sipitang diraikan
Berita Tempatan Politik

44 bakal jemaah haji Sipitang diraikan

SAMPAIKAN: Matbali (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal jemaah haji yang diraikan sambil diperhatikan oleh Mazlan (dua kiri).

BEAUFORT: Seramai 44 orang bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Sipitang yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan DUN Lumadan diraikan dalam satu Majlis Silaturahim yang diadakan di Restoran Y&Y, baru-baru ini.

Majlis Silaturahim Bersama Bakal Jemaah Haji Parlimen Sipitang anjuran Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Sipitang itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.


Sempena majlis ramah mesra itu, Matbali turut menyampaikan sumbangan kepada semua bakal jemaah yang turut dihadiri Ketua Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan.

Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia dalam ucapan turut mengingatkan para jemaah haji khususnya dari kawasan Parlimen Sipitang supaya sentiasa menjaga kesihatan diri untuk memudahkan mereka melaksanakan urusan haji.


Bagaimanapun, beliau yakin semua jemaah haji itu sudah siap sedia dari segi mental dan fizikal menyahut seruan Allah sekaligus melaksanakan ibadah dengan lancar.


“Disiplin serta kesihatan tubuh badan setiap jemaah amat penting dijaga sepanjang berada di tanah suci Makkah bagi mempermudahkan urusan menunaikan ibadah haji.


“Saya yakin setiap jemaah haji yang berangkat ke tanah suci sudah bersiap sedia sepenuhnya dari segi fizikal, mental dan kesihatan bagi melancarkan urusan di sana,” katanya.


Sehubungan itu, beliau turut mendoakan supaya urusan jemaah haji dipermudahkan dan beroleh haji mabrur.

— Kenneddy Corlleus