Home » Sarawak model perpaduan negara – Nancy
Berita Dalam Negara Politik

Sarawak model perpaduan negara – Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada sidang media selepas Majlis Sambutan Gawai Daerah Lundu 2023 di sini, hari ini. Foto: TVS

LUNDU : Perpaduan di Sarawak jelas terpancar menerusi kerharmonian rakyat dan kepelbagaian budaya yang membawa keindahan sebenar di Bumi Kenyalang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sekiranya sesebuah negara tidak bersatu padu rakyatnya, maka agak sukar untuk mencapai kemajuan terutama sekali Malaysia yang masih lagi mengejar pembangunan, apatah lagi Sarawak.

“Sarawak tidak mengikuti rentak politik di negeri lain dan kita mahu Sarawak terus maju dengan membawa pembangunan yang didambakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Gawai Daerah Lundu di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, penggunaan moto ‘Segulai Sejalai’ sebagai cogan kata perpaduan seluruh negara merupakan pengiktirafan kepada Sarawak sebagai model perpaduan negara.

“Ia merupakan satu kebanggaan bagi Sarawak apabila tampil sebagai contoh terbaik perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

“Sebelum ini ia hanya digunakan di Sarawak sahaja dan sekarang Malaysia akan menggunakannya sebagai cogan kata, pastinya ia merupakan satu kebanggaan buat rakyat sarawak. Perpaduan Sarawak kini semakin diktiraf,” katanya. – TVS

Luqman Muhammad